Bagaimana cara untuk ingat Allah dalam Shalat

Pada Artikel kali ini kita akan berbincang tentang cara ingat pada Allah S.W.T. Macam mana cara nak ingat Allah S.W.T terutama di dalam shalat.


Dalam keadaan solat, ramai diantara kita yang fikiran (ingatan) nya masih memikirkan selain daripada Allah S.W.T. Contohnya, masih memikirkan untung rugi dalam perniagaan, bimbang selipar baru yang ditinggalkan di luar masjid, memikirkan lepas ni nak buat apa, lepas tu nak buat apa dan segala macam hal keduniaan. Cuba fikir, jika sebeginilah amalan kita setiap kali melaksanakan solat pasti kita tidak akan mampu khusyuk dan mengingati Allah dalam solat. Lebih teruk lagi ada yang langsung tidak mengingati Allah dalam solatnya. Ketahuilah, dengan mengingati Allah ‘In Sya Allah’ khusyuk akan hadir ketika bersolat dan hati menjadi tenteram.

Allah S.W.T. berfirman : ”(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (QS. Ar-Ra’d, 13 : 28)

Untuk menghadirkan rasa khusyuk dan hati tenteram. Mari kita belajar cara mengingati Allah S.W.T dalam solat. Pertama sekali, sebelum Bertakbir (Allah Hu Akbar), berdiri tegak dan fokuskan ingatan kita hanya kepada Allah S.W.T semata-mata tanpa mengingati yang lain selain-Nya kerana orang yang ingat Allah S.W.T adalah orang yang hanya fokus kepada Allah S.W.T tanpa mengingati yang lain selain-Nya. Selepas itu, semasa Bertakbir (Allah Hu Akbar) rasakan di hati  yang Bertakbir itu adalah Allah. Rasakan yang Allah memberitahu kepada kita melalui suara bibir mulut kita yang Allah itu Maha Besar. Begitulah seterusnya ketika membaca surah-surah al-Quran dan semua bacaan (Rukun Qauli) di setiap rakaat solat dan rasakan di hati kita yang semua bacaan yang keluar daripada suara bibir mulut kita itu adalah daripada Allah Yang Satu. Ketika membaca bacaan Al-Fatihah, hendaklah kita merasai yang Allah lah yang mendoakan kita. Ketika membaca Surah Al-Ikhlas, rasakan di hati yang Allah memberitahu kita yang Allah itu satu, Allah itu Maha Esa. Begitulah seterusnya, ketika membaca ayat-ayat memuji Allah rasakan di hati ini yang Allah memberitahu kebesaran-Nya kepada kita melalui bacaan bibir mulut kita dan apabila membaca ayat-ayat yang mengandungi doa, rasakanlah di hati ini yang Allah S.W.T mendoakan kita serta jika membaca ayat-ayat yang menceritakan sesuatu perkara seperti (cerita silam, azab neraka, nikmat syurga) rasakan di hati bahawa Allah sedang memberitahu / menceritakan kepada kita.

Seterusnya, untuk ingat Allah dalam pergerakan solat (Rukun Fekli) , rasakan di hati kita sebenarnya yang menggerakkan diri kita ini adalah Allah Yang Maha Esa. Ingatlah, tidak akan bergerak sezarah pun tanpa keizinan dan kehendak Allah S.W.T. Apabila kita berdiri sebenarnya kudrat Allah lah yang mendirikan kita. Apabila kita rukuk, Allah lah yang mengizinkan kita untuk rukuk. Apabila kita bersujud, sebenarnya Allah lah yang menjadikan kita sujud.

”Sesungguhnya hati-hati manusia seluruhnya diantara dua jari dari jari-jemari Ar-Rahman seperti satu hati; Dia (Allah) memalingkannya kemana saja yang dikehendaki-Nya.” (Sahih Riwayat Muslim)

Firman Allah S.W.T: ”Dan tidaklah engkau berada dalam suatu urusan, dan tidak membaca suatu ayat al-Quran serta tidak pula kamu melakukan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu ketika kamu melakukannya. Tidak lengah sedikit pun dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarrah, baik di bumi ataupun di langit. Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan yang lebih besar daripada itu, melainkan semua tercatat dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).” (QS. Yunus 10 : 61)

Ingat, untuk mengingati Allah S.W.T. Kita perlulah menghilangkan sifat diri dan sifat keakuan. Hadirkan dan rasakan keberadaan Allah, rasakan di hati kewujudan Allah. Ingat, Allah Itu Satu.

Firman Allah S.W.T - ”Padahal Allah-lah yang menciptakanmu dan apa yang kamu perbuat itu.” (QS. As-Shaffat 37 : 96)
Ingat, yakin dan percayalah. Sebenarnya kita adalah hamba yang lemah dan kosong. Kita tidak akan mampu melaksanakan sesuatu tanpa keizinan Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T - ”Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Rabb semesta alam.” (QS. At-Takwir 81 : 29)

Oleh itu, kenapa kita masih menjadi orang yang tidak bersyukur kepada Allah S.W.T. Bersyukurlah, kerana Allah S.W.T menjadikan kita antara orang islam yang bersolat. Semoga kita tergolong dalam golongan hamba Allah yang sentiasa ingat pada Allah S.W.T. Ketahuilah, orang yang mengenal Allah akan mudah untuk mengingati Allah, kerana kita tidak akan mampu ingat selagi kita tidak mengenali. Maka, mari kita belajar mengenali Allah. Mari belajar di farhan 4u2c

Semoga artikel ini dapat membantu kita untuk sentiasa ingat Allah secara terus terutama dalam ibadah solat.

Wallahu A’lam Bish Shawab.