Kisah Nabi Muhammad S.A.W dengan pokok Kurma atau Tamar yang menangis. Kisah ini boleh memberi keinsafan kepada kita sebagai umat Muhammad S.A.W agar sentiasa mengingati, mematuhi dan merindui baginda.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa pada masa itu masjid Rasulullah S.A.W beratap pelepah pokok tamar/kurma. Jika Rasulullah S.A.W berkhutbah, baginda berdiri di atas salah satu batang pokok tamar. Oleh kerana jumlah umat Islam bertambah ramai, maka dicadangkan dibina mimbar agar jemaah majlis yang berada di belakang dapat melihat Rasulullah S.A.W ketika berkhutbah.

Cadangan Saidina Abu Bakar As-Sidiq R.A supaya dibina mimbar yang baru diterima Rasullulah S.A.W. Lalu para sahabat pun membuat mimbar daripada kayu yang mempunyai 3 anak mata tangga. Apabila mimbar yang baru itu siap, Rasulullah S.A.W pun mula memberikan khutbah di atas mimbar baru tersebut, malah Nabi S.A.W merasa selesa dengan mimbar yang baru itu lalu tidak menggunakan lagi batang tamar yang sering Baginda S.A.W gunakan sebelum ini.

Namun, ketika Rasullullah S.A.W menggunakan mimbar baru itu, kedengaran suara rintihan seperti tangisan unta kehilangan anak yang semakin lama semakin kuat hingga menggoncangkan tanah yang terus bergetar sehingga para sahabat pun bertanya-tanya.

Rupa-rupanya, suara tangisan sedih itu datangnya daripada batang pokok tamar usang yang dulunya sering kali digunakan oleh Rasullullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W tersenyum. Lalu Baginda turun daripada mimbar dan menghampiri pokok tamar yang tidak jauh dari mimbar tersebut. Rasulullah S.A.W meletakkan tangan pada batang pokok tamar dan mengusap-usap dengan perlahan-lahan.

Rasulullah S.A.W berkata pada pokok tamar itu: “Jika engkau mahu, aku akan jadikan engkau dinding masjid ini, akarmu tumbuh lagi, tubuhmu hidup lagi dan engkau berbuah lagi. Atau jika engkau mahu, aku akan berdoa kepada Allah S.W.T agar engkau akan menjadi pokok di syurga, supaya para wali Allah S.W.T dapat memakan buah-buahmu.”

Batang tamar itu menjawab: “Saya memilih untuk ditanam ke dalam tanah dan akan tumbuh di syurga supaya wali-wali Allah dapat memakan buahku dan saya berada di tempat dimana di dalamnya saya kekal.”

Lalu goncangan tanah dan suara rintihan pun berhenti. Rasulullah S.A.W kemudian kembali pada mimbar dan menyampaikan kejadian tersebut kepada para sahabatnya. Rasulullah S.A.W berkata: “Ia (pokok kurma) memilih negeri yang kekal berbanding negeri yang fana ini!”

Rasulullah S.A.W kemudian menyuruh supaya ditanamkan batang pokok tamar itu berhampiran mimbar dan mengatakan bahawa ia akan dibangkitkan di dalam syurga.

Jabir R.A berkata, ”Pokok kurma itu juga menangis apabila ia mendengar orang berzikir atau mendengar bacaan al-Quran dekatnya.” (HR. Bukhari)

Begitulah kisah pokok tamar yang menangis kerana rindu kepada Rasulullah S.A.W. Sayang, kasih dan rindunya sebatang pokok tamar kepada Rasulullah S.A.W sehingga menangis kerana Rasulullah S.A.W beralih mimbar untuk berkhutbah.

Hasan al-Basri apabila meriwayatkan kisah ini, beliau pun menangis dan berkata; ”Wahai hamba Allah, Batang tamar pun rindu kepada Rasulullah S.A.W, maka kamu semua lebih utama untuk merasa rindu bertemu dengan Rasulullah S.A.W.”

Bayangkan! Sebatang pokok tamar tidak mahu jauh dari Nabi Muhammad S.A.W, padahal cuma berjarak beberapa meter. Bagaimana pula cinta kasih kita kepada Rasulullah S.A.W.? Kita yang mengaku sebagai umatnya, pernahkah kita menangis teresak-esak kerana Rasulullah S.A.W.?

Cinta kepada Nabi bukan hanya pada pengakuan lidah semata-mata. Cinta kepada Nabi itu hendaklah kita patuh, taat, yakin, percaya segala yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W tanpa ragu-ragu. Kalau cinta Nabi hanya pada lidah, apa bezanya kita dengan orang bukan islam. Semua orang boleh cakap di mulut. Tapi tidak ada bukti secara praktikal.

Alangkah malunya kita yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W tetapi tidak pernah berasa rindu kepada Baginda S.A.W. Apatah lagi jarang-jarang berselawat kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W. Malah ada di kalangan kita nak jawab selawat pun susah.

Sesungguhnya Jibrail A.S telah membisikkan (doa) Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu (Muhammad) di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu.

BERSELAWATLAH!

Firman Allah : (56) Sesungguhnya Allah & para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya & ucaplah salam penghormatan kepadanya. (57) Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah akan melaknatnya di dunia dan akhirat, dan menyediakan azab yang menghinakan bagi mereka. (QS. Al-Ahzab 33: 56-57).

"Kalau kita rasa kita ini orang yang beriman, maka sambutlah perintah Allah itu"

Sabda Nabi S.A.W : Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi 10 kali & waktu petang 10 kali, maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat. (HR. Thabarani).

Marilah kita perbanyakkan selawat kepada Nabi S.A.W di samping berdoa semoga suatu hari nanti kita akan bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan memperolehi syafaat Baginda S.A.W serta tergolong dalam golongan rombongan Nabi Muhammad S.A.W di akhirat kelak untuk menuju redho (syurga) Allah S.W.T.

Ambillah pengajaran dari Kisah Nabi Muhammad dan pokok kurma menangis ini sebagai pedoman untuk menambahkan lagi kecintaan kita kepada Baginda S.A.W. Seseorang akan taat dan setia apabila dia menyayangi. Kalau kita ingin istiqomah taat kepada Nabi Muhammad S.A.W. Maka cintailah Baginda S.A.W.

Wallahu A’lam Bish Shawab.