Perkara ini
sebenarnya banyak terjadi kepada masyarakat kita. Kita boleh lihat yang mereka ini lebih mengutama dan mementingkan tok guru mereka berbanding ibu bapa kandung dan ibu bapa mertua nya sendiri. Perkara ini sebenarnya boleh menjadi faktor pemula derhaka kepada ibu bapa mereka.
Kita boleh lihat segelintir
masyarakat lebih gemar berkunjung ke rumah tok guru mereka berbanding rumah ibu
bapa sendiri atau ibu bapa mertua. Sebenarnya tidak salah berkunjung ke rumah
tok guru, tapi yang jadi salahnya apabila mereka lupa untuk menjenguk ibu bapa
mereka dan lama-kelamaan tanpa sedar mereka mengabaikan ibu bapa mereka.
Perkara ini
kita boleh lihat apabila tiba musim perayaan, ibu bapa di kampung tertunggu-tunggu
kepulangan anaknya, tetapi anak-anak mereka lebih gemar dan lebih mengutamakan
guru-gurunya berbanding ibu bapanya sendiri. Mereka ini lebih seronok menyambut
dan meraikan hari raya bersama tok guru mereka berbanding ibu bapa nya sendiri
tanpa memikirkan ibu bapa nya yang kesunyian dan rindu kepada anak-anaknya.
Kalau nak
pergi sangat berkunjung tok guru itu, sepatutnya perlulah mengutamakan ibu bapa
dahulu. Jenguklah ibu bapa di rumah terlebih dahulu, bagilah peluang kepada ibu
bapa untuk melepaskan rindu. Lupakah kita, ibu bapalah orang yang paling banyak
berkorban dan melimpahkan kasih sayangnya kepada anak-anaknya. Kita sebagai
anaknya takkan tidak ada perasaan rindu kepada ibu bapa kita sendiri. Hanya
orang-orang yang hatinya keras seperti batu dan kotor macam sampah saja yang
tidak ada perasaan rindu. Lihat dan perbaiki balik hati masing-masing.
Ingatlah,
syurga itu di bawah tapak kaki ibu, bukan di bawah tapak kaki tok guru. Ingat,
dosa derhaka kepada ibu bapa itu amatlah besar dan boleh menjadi penghalang
untuk kita menuju redho (syurga) Allah S.W.T.
“Dua
kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada kedua
ibu bapa.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Cuba tanya
tok guru itu yang mana lebih utama antara melawat ibu bapa atau melawat tok
guru.? Kalau tok guru itu tidak mengajarkan ajaran sesat semestinya dia akan
menjawab melawat ibu bapa adalah lebih utama. Sebenarnya dari situ kita boleh
uji sama ada guru itu mengajarkan ilmu sesat atau tidak.
Ada juga
masyarakat pada hari ini lebih kerap melawat kubur tok guru mereka dan
seolah-olah lupa untuk melawat kubur ibu bapa nya sendiri, ada juga yang
langsung tidak melawat kubur ibu bapa mereka. Mereka memberi alasan yang
kubur-kubur guru mereka mempunyai berkat, keramat dan segala macam kebaikan.
Tidakkah mereka mengetahui yang redho ibu bapa mereka lebih penting berbanding
guru-guru mereka.
“Tuhanmu
telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah
berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut
usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani
berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka.
Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (QS. Al-Isra’ 17: 23)
Tidak salah
menuntut ilmu daripada tok guru, asalkan ilmu itu adalah ilmu yang benar dan tidak
menyimpang daripada ajaran Al-Quran dan Sunnah. Sikap terlalu taksuk ini juga
sepatutnya dijauhkan kerana dibimbangi kita tidak dapat menerima dan akan
menentang ilmu guru-guru yang lain. Ingatlah, jangan terlalu taksuk dengan
seseorang guru itu sehinggakan kita lupa dan mengabaikan ibu bapa kita sendiri.
0 Comments