Berzikir adalah antara amalan yang baik untuk mengingati Allah S.W.T. Berzikir juga dapat memberi ketenangan kepada hati kita jika dilaksanakan dengan betul. Sebagai hamba sepatutnya mengamalkan zikir dalam keadaan ingat kepada Allah S.W.T, bukan ingat nombor, huruf, pekerjaan, harta, anak, isteri atau pun pangkat. Maka, mari kita belajar bagaimana cara untuk mengingati Allah S.W.T melalui amalan berzikir.

Allah S.W.T. berfirman : ”(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (QS. Ar-Ra’d, 13: 28)

Sebelum itu, ketika berzikir sebaik-baiknya gunakan butir tasbih atau tangan. Guna butir tasbih atau tangan ketika berzikir sebenarnya lebih elok berbanding mengira zikir menggunakan ingatan kepala. Sebab apa.? Sebab, bila menggunakan ingatan kepala sebenarnya kita tidak mengingati Allah sebaliknya kita hanya ingat nombor. Oleh itu, lebih baik guna butir tasbih ataupun tangan kerana tanpa membilang nombor pun, kita akan tahu bila masanya sampai pada angka 33 / 100.

Untuk menghadirkan rasa ingat kepada Allah ketika berzikir, kita hendaklah mengfokuskan rasa di hati bahawa segala zikir yang terzahir di bibir mulut itu adalah daripada Allah Yang Satu. Percaya, yakin dan ingatlah sesungguhnya segala sesuatu yang berlaku adalah datang daripada Allah Yang Maha Berkuasa.

Firman Allah S.W.T - ”Padahal Allah-lah yang menciptakanmu dan apa yang kamu perbuat itu.” (QS. As-Shaffat 37: 96)

Firman Allah S.W.T: ”Allah yang mencipta tiap-tiap sesuatu dan Dia menjadi wakil pada tiap-tiap sesuatu”. (QS. Az-Zumar 39: 62)

Oleh itu, mengakulah yang sebenarnya kita ini adalah hamba yang lemah, tidak berkuasa dan kosong. Maka, untuk ingat kepada Allah itu pertama sekali kita hendaklah menghilangkan sifat diri dan sifat keakuan, dengan menggunakan kaedah ini barulah kita akan merasai yang kita ini tidak wujud, lemah, kosong dan sesungguhnya sifat wujud itu hanya bagi Allah. Barulah kita sedar dan dapat merasai kewujudan Allah dan keberadaan Allah itu.

Ketika mengucapkan zikir, rasa dan fokuskan di hati yang zikir itu adalah daripada Allah dan hak kepunyaan Allah. Rasakan di hati yang Allah sedang memberitahu kita yang Allah Itu Maha Suci (Subhanallah), ketika mengucapkan (Alhamdulillah) rasakanlah yang Allah menyatakan diri-Nya sahaja yang berhak mendapat segala puji-pujian, apabila mengzahirkan ucapan (Allah Hu Akbar) rasakanlah Allah mengkhabarkan kepada kita yang Allah itu Maha Besar dari segi kekuasaan, kebijaksanaan dan segala macam hal sesungguhnya Allah lah yang paling utama (Maha Besar).

Ketahuilah sesungguhnya Allah lah yang memuji diri-Nya melalui bibir mulut orang yang berzikir. Allah mengzahirkan puji-pujian Nya melalui sesuatu atau seseorang yang memuji. Sesungguhnya, kita makhluk sebenarnya tidak mampu melakukan zikir melainkan keizinan Allah lah yang mengebabkan kita boleh berzikir. Sesungguhnya segala yang terjadi kepada diri kita, orang lain dan seluruh alam ini sebenarnya telah ditetapkan dan sudah tertulis di dalam kitab Lauh Mahfuz.

Firman Allah S.W.T – ”Sesungguhnya segala-gala sesuatu telah kami jadikan sesuai dengan takdir yang telah ditentukan sebelumnya”. (QS. Al-Qamar 54: 49)

Firman Allah S.W.T - ”Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Rabb semesta alam.” (QS. At-Takwir 81: 29)

Dan ingatlah, Allah itu tidak berbicara menggunakan anggota mulut, cuma Dia hanya mengzahirkan kata-kataNya melalui sesuatu makhluk yang bercakap. Jika Allah berkata-kata menggunakan pancaindera bibir mulut, itu bererti Allah sama dengan makhluk. Ingatlah, sesungguhnya tidak ada yang sama dengan Allah, Maha Suci Allah dari segala persamaan.

Wallahu A’lam Bish Shawab.