Ketika kita menggunakan kekuatan kita untuk mengangkat
sesuatu benda yang berat atau semasa berada di gym sebenarnya pada waktu
itu kita boleh ingat Allah. Jangan sia-siakan setiap perkara yang kita lakukan.
Sebagai hamba, tak kan kita hanya nak ingat Allah ketika berada di tikar
sejadah saja. Sebagai hamba sepatutnya kita sentiasa mengingati Allah dalam semua perkara yang kita lakukan.
Pertama sekali, kita perlulah percaya dan yakin yang
sebenarnya kita adalah hamba yang lemah dan tidak mampu melakukan apa-apa
termaksud mengangkat berat. Sesungguhnya, kekuatan kita untuk mengangkat berat
itu adalah kekuatan Allah S.W.T, bukannya kekuatan diri kita.
Semasa angkat berat, rasakan di hati, sesungguhnya yang
mengangkat berat itu adalah Allah. Ingat dalam hati yang kita adalah makhluk
yang lemah dan tidak mampu. Apabila kita mengaku kita ini hamba yang lemah,
barulah kita dapat rasa yang kuat, gagah dan perkasa itu hanyalah Allah. Dengan
kaedah ini sebenarnya kita boleh mengingati Allah.
Firman Allah S.W.T - ”Dan kamu tidak dapat menghendaki
(menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Rabb semesta alam.”
(QS. At-Takwir 81: 29)
Firman Allah S.W.T - ”Padahal Allah-lah yang
menciptakanmu dan apa yang kamu perbuat itu.” (QS. As-Shaffat 37: 96)
Fahamkan baik-baik dan ingat ayat ini ”Allah mengzahirkan kekuatan-Nya melalui
sesuatu yang kuat”. Maksud ayat ini adalah untuk memberitahu kita yang
sebenarnya kekuatan yang kita miliki itu sebenarnya bukan hak milik kita, tapi
adalah hak milik penuh Allah S.W.T.
Untuk ingat Allah, kita perlulah melihat sifat Allah dan
hilangkan sifat diri. Hilangkan sifat diri dan sifat keakuan, jangan sesekali
ada sifat keakuan kerana dibimbangi kita akan menjadi sombong dan riak dengan
kekuatan kita.
Selagi kita masih mengaku kita kuat, gagah dan perkasa
serta tidak percaya yang kita ini adalah makhluk yang lemah, tak mampu dan
kosong, selagi itulah kita tidak akan mampu mengingati Allah dengan betul dan
istiqomah.
Janganlah kita sombong yang kita ini kuat. Tetapi lihat
renung dan ingatlah akan kekuatan, kegagahan dan keperkasaan Allah S.W.T.
Bukan kita yang kuat, tapi Allah lah yang telah
mengzahirkan kekuatan-Nya kepada diri kita yang lemah, kosong dan tidak
mempunyai apa-apa ini menjadi boleh melaksanakan sesuatu. Sesungguhnya, kita
tidak akan mengangkat berat jika Allah tidak menghendaki dan menetapkan di
kitab Lauh Mahfuz. Percayalah, kita adalah hamba yang lemah dan kosong, kita di
dunia ini hanya melaksanakan apa yang telah ditetapkan sejak azali lagi di
Kitab Lauh Mahfuz.
Firman Allah S.W.T: ”Dan tidaklah engkau berada dalam
suatu urusan, dan tidak membaca suatu ayat al-Quran serta tidak pula kamu
melakukan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu ketika kamu
melakukannya. Tidak lengah sedikit pun dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar
zarrah, baik di bumi ataupun di langit. Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan
yang lebih besar daripada itu, melainkan semua tercatat dalam kitab yang nyata
(Lauh Mahfuz).” (QS. Yunus 10: 61)
Cuba bayangkan, jika kawan kita meminjam kereta kita, selepas
itu dia bersikap sombong dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain sambil mengaku
kereta itu adalah kepunyaannya.
Cuba alihkan situasi itu kepada diri kita dengan Allah
S.W.T, semestinya Allah akan murka dengan kita kerena kita sombong dan riak
dengan hak milik kepunyaan Allah S.W.T.
Apabila kita ada sifat sombong dengan kekuatan kita,
perkara ini lah yang akan menjadi penghalang untuk ingat kepada Allah. Semoga
Allah memberi kita kefahaman dan kerendahan hati sebagai seorang hamba untuk
kita sentiasa ingat Allah dan menjauhi sifat takbur dengan apa yang ada pada
diri kita.
Wallahu A’lam Bish Shawab.
0 Comments