Koleksi Hadis 40 ini untuk dijadikan sebagai panduan bersama, panduan dalam bermasyarakat, beribadat serta panduan untuk mendidik jiwa ke arah lebih baik dalam semua aspek kehidupan dunia dan akhirat.
Hadis Pertama
"Dari Amirul
Mukminin Umar Al-Khattab R.A katanya : "Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda:- 'Hanyasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan
hanyasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka
barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah
kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang
ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya,
maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'
Hadis Kedua
Dari Umar Ibnul-Khattab
R.A, katanya : Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah S.A.W pada
suatu hari, tiba-tiba mucul di dalam majlis itu seorang laki-laki yang berpakaian
serba putih, berrambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir,
dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk ia bersama Rasulullah
S.A.W, dan ditemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Rasulullah S.A.W serta
diletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua paha Rasulullah S.A.W, lalu
berkata :
Si pemuda : Khabarkan aku tentang Islam ?
Rasulullah : Islam, iaitu hendaklah mengucap syahadat - bahawa
tiada Tuhan melainkan Allah Ta'ala dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan
hendaklah bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan
menunaikan haji ke Baitullah apabila berdaya ke sana.
Si pemuda : Benar katamu.
( Berkata Umar r.a : Kami merasa hairan kepada tingkah laku sipemuda itu, dia
yang bertanya dan dia pula yang mengiyakannya )
Si pemuda : Khabarkanlah kepada ke tentang Iman ?
Rasulullah : Hendaklah engkau beriman kepada Allah,
Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat dan
hendaklah engkau beriman kepada taqdir Allah yang baikNya atau yang burukNya.
Si pemuda : Benar katamu ! Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan ?
Rasulullah : Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau
melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa
dapat melihat engkau.
Si pemuda : Khabarkan padaku tentang hari kiamat ?.
Rasulullah : Tiadalah orang yang ditanya itu lebih mengetahui dari
orang yang bertanya.
Si pemuda : Khabarkan padaku tentang tanda-tandanya ?
Rasulullah : Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri ;
Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala
kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi.
( Kemudian beredar keluar sipemuda itu dari majlis tersebut ) :
Rasulullah : Tahukan anda wahai Umar siapakah pemuda yang menyoal
kau tadi ?
Umar Al-Khattab : Allah dan RasulNya jua yang mengetahui.
Rasulullah : Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk
mengajarkan kamu pelajaran agama kamu.
Hadis Ketiga
"Dari Abu Abdul
Rahman, Abdullah bin Umar R.A, berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W
bersabda : ' Islam itu didirikan atas lima (pekara) - Menyaksikan bahawa tiada
Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan
sembahyang, mengeluarkan zakat, naik haji ke Baitullah dan puasa sebulan
Ramadhan. "
Hadis Keempat
" Dari Abu Abdul
Rahman, Abdullah bin Mas'ud R.A, katanya Rasulullah S.A.W telah menceritakan
kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya,
sabdanya : ' Sesungguhnya sesaorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut
ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah
selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yand demikian itu juga, iaitu
40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya
dan diperintahkan menulis empat pekara
: rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya. Maka
demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya sesaorang kamu itu
tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan
syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh
tulisannya ( suratan takdir ) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka,
maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya sesaorang kamu tetap akan
beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka
cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia
beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga
itu. "
Hadis Kelima
" Daripada Ummul Mukminin,
Ummi Abdullah Aisyah R.A. katanya : Telah bersabda Rasulullah S.A.W : '
Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama yang bukan darinya adalah
tertolak ', ~ diriwayatkan dari Al-Bukhari dan Muslim. Dan pada riwayat yang
lain oleh Imam Muslim : " Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang
tidak dari perintah Kami (ALLAH S.W.T), maka ia adalah tertolak. "
Hadis Keenam
"Dari Abu Abdullah
An-Nu'man bin Basyir R.A. katanya : saya telah mendengar Rasulullah S.A.W
bersabda : ' Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu
terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat (
tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang
yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti
orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke
dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram. Laksana
seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan
masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat
larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-pekara yang
diharamkanNya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia
baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh
jasad itu. Itulah hati. '
Hadis Ketujuh
Dari Abu Ruqayah Tamim
bin Aus Ad-Dhari R.A, bahawasanya Nabi S.A.W bersabda : ' Agama itu adalah
nasihat. ' Kami sekelian bertanya : ' Untuk siapa ? ' Maka jawab Rasulullah
S.A.W : ' Bagi Allah, kitabNya, RasulNya dan bagi penganjur-penganjur kaum
Muslimin dan orang awamnya. '
Hadis Kelapan
Dari Ibn Umar R.A,
bahawasanya Rasulullah S.A.W pernah bersabda: ' Aku diperintahkan untuk
memerangi manusia sehinggalah mereka mengaku tiada tuhan selain Allah dan
bahawa Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, memberi zakat, maka
jika mereka melakukan semua itu akan terselamatlah darah dan harata benda
mereka dariku, kecuali yang mana ada hak Islam padanya dan perkiraan mereka
terserahlah kepada Allah Ta'ala. '
Hadis Kesembilan
Dari Abu Hurairah Abdul
Rahman bin Sakhar R.A : " Bahawa saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda
: ' Apa yang aku larang kamu lakukan maka hendaklah kamu tinggalkannya, dan apa
yang aku perintahkan kamu lakukan hendaklah kamu lakukan sekadar kemampuan
kamu. Sesungguhnya telah binasa umat-umat yang sebelum kamu disebabkan terlalu
banyak bertanya serta pertelingkahan mereka terhadap Nabi-Nabi mereka.
Hadis Kesepuluh
Dari Abu Hurairah R.A:
Telah bersabda Rasulullah S.A.W: "Sesungguhnya Allah Ta'ala itu baik, dia
tidak akan menerima melainkan yang baik sahaja. Dan sesungguhnya Allah telah
memerintahkan kaum Mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para Mursalin
(para Rasul). Allah berfirman: 'Wahai para Rasul, makanlah dari yang baik-baik
dan kerjakanlah amalan yang saleh. ' Dan Allah berfirman lagi: ' Wahai
orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik yang Kami berikan
kepada kamu. ' Kemudian Rasulullah S.A.W mengisahkan tentang seorang lelaki
yang telah belayar jauh. Rambutnya kusut, berdebu, mengangkat kedua belah tapak
tangannya ke langit serta memohon : Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedangkan
makanannya dari yang haram, minumannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang
haram, dan dia telah dikenyangkan dari sumber yang haram. Alangkah jauhnya dia
(doanya) untuk dikabulkan.'
Hadis Kesebelas
Dari Abu Muhammad,
Al-Hasan bin Ali bin Abu Talib, cucu Rasulullah S.A.W dan kesayangannya R.A
yang berkata : " Aku menghafal dari Rasulullah S.A.W : ' Tinggalkanlah apa
yang meragukanmu kepada yang tiada meragukanmu. "
Hadis Keduabelas
Dari Abu Hurairah R.A
katanya: " Telah bersabda Rasulullah S.A.W : " Sebaik-baik Islam
sesaorang itu adalah peninggalannya tentang apa yang tiada kena mengena dengannya.
"
Hadis Ketigabelas
Dari Abu Hamzah, Anas
bin Malik R.A, khadam kepada Rasulullah S.A.W, bersabda Nabi S.A.W : Tiada
beriman sesaorang kamu, sehinggalah ia mencintai saudaranya sama seperti ia
menyintai dirinya sendiri.
Hadis Keempatbelas
Dari Ibnu Mas'ud R.A,
katanya : Telah bersabda Rasulullah S.A.W : ' Tiada dihalalkan darah seorang
Muslim, kecuali atas satu dari tiga sebab ; janda yang berzina, jiwa dengan
jiwa ( membunuh tanpa hak ) dan orang yang meninggalkan agamanya, yang
memisahkan diri dari jemaah.'
Hadis Kelimabelas
Dari Abu Hurairah R.A,
bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda : " Barangsiapa beriman kepada Allah
dan Hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik atau berdiam diri. Dan
barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berbuat baik
kepada jiran tetangganya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari
Akhirat, hendaklah menghormati tetamunya. "
Hadis Keenambelas
Dari Abu Hurairah R.A,
bahawasanya ada seorang telah berkata kepada Nabi S.A.W : " Nasihatilah kepadaku
! " Dijawab oleh Nabi S.A.W : " Jangan marah! " Orang itu
berulangkali meminta supaya dirinya dinasihati, maka tetap Rasulullah S.A.W
mengatakan : " Jangan marah ! "
Hadis Ketujuhbelas
Dari Abi Ya'la Syaddad
bin Aus R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesungguhnya Allah telah
mewajibkan berihsan ( menyempurnakan sesuatu dengan baik ) terhadap semua
pekara. Seandainya kamu membunuh, maka bunuhlah secara sempurna, dan apabila
menyembelih maka elukkanlah penyembelihan. Hendaklah sesaorang kamu menajamkan
mata pisaunya dan merehatkan penyembelihannya. "
Hadis Kelapanbelas
Dari Abu Dzar, Jundub
bin Junadah dan Abu Abdul Rahman, Muaz bin Jabal R.A, dari Rasulullah S.A.W,
sabdanya : " Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada.
Iringkanlah perbuatan jahat itu dengan perbuatan baik, mudah-mudahan yang baik
itu akan memadam yang jahat. Dan berperangai kepada manusia dengan dengan
perangai yang bagus. "
Hadis Kesembilanbelas
Dari Abu Abbas, Abdullah
bin Abbas R.A: "Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang
Rasulullah S.A.W (di atas binatang tunggangannya), lalu sabda baginda: 'Wahai
anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan.
Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah (kehormatan)
Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau
memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan
mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia
berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan
mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan
oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu
mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan
dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam
(tulisan) dan telah kering (tinta) buku catitan.'
Hadis Keduapuluh
Dari Abu Mas'ud, Uqbah
bin Amru Al-Anshari Al-Badri R.A, katanya : " Telah bersabda Rasulullah
S.A.W : ' Di antara sabda para Nabi yang terdahulu yang masih dipakai untuk
orang ramai (sehingga kini) ialah : Jika engkau tiada malu, buatlah
sesuka hati kamu. '
Hadis Keduapuluh Satu
Dari Abu Amru dan
dikatakan pula dari Abi Amrah Sufyan bin Abdullah R.A, katanya: "Saya
pernah bertanya Rasulullah S.A.W: Ajarkanlah kepadaku suatu ajaran mengenai
Islam, yang tidak akan aku tanyakan lagi daripadanya akan seorang yang selain
daripada engkau. Sabda Rasulullah S.A.W: 'Katakanlah, aku beriman kepada
Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah.' "
Hadis Keduapuluh Dua
Dari Abu Abdullah, Jabir
bin Abdullah Al-Anshari R.A, bahawasanya telah bertanya seorang lelaki kepada
Rasulullah S.A.W : " Apa pendapatmu jika saya menunaikan semua sembahyang
fardhu, dan aku berpuasa sebulan Ramadhan, dan aku halalkan yang halal dan aku
haramkan yang haram, dan aku tidak menambahkan suatu atas demikian itu, adakah
aku masuk syurga? Jawab Rasulullah SAW : Ya."
Hadis Keduapuluh Tiga
Dari Abu Malik Al-Hariths
bin Ashim Al-Ashya'ri R.A, katanya: Telah bersabda Rasulullah S.A.W : ' Suci
itu sebahagian daripada iman, dan Alhamdullilah memenuhi timbangan, dan
Subhanallah Wal-Hamdullilah pula akan memenuhi ruang antara langit dan bumi.
Dan sembahyang itu cahaya, dan sedekah itu bukti, dan sabar itu sinaran dan
Al-Quran itu dalil bagimu atau atasmu. Setiap manusia berusaha, ada yang
menjual dirinya, ada yang memeliharanya dan ada yang membinasakannya. '
Hadis Keduapuluh Empat
Dari Abu Dzar Al-Ghafiri
R.A, dari Nabi S.A.W yang meriwayatkan dari Tuhannya Allah Azzawajalla,
bahawasanya Tuhannya telah berkata: "Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya
aku telah mengharamkan penganiayaan atas diriKu, dan Aku jadikan haram di
antara sesama kamu, maka janganlah kamu aniaya-menganiayai.
Wahai hamba-hambaKu! Kamu sekelian sesat, kecuali siapa yang telah Aku berikan
hidayat kepadanya. Maka hendaklah kamu minta hidayat daripadaKu, nescaya Aku
akan memberi hidayat itu kepadamu.
Wahai hamba-hambaku! Sekelian kamu lapar kecuali siapa yang telah Aku berikan
makanan kepadanya, maka hendaklah kamu sekelain meminta makan daripadaKu,
nescaya Aku akan beri kamu makan.
Wahai hamba-hambaku! Sekelian kamu bertelanjangan, kecuali sesiapa yang aku
berikan pakaian, maka mintalah pakaian daripadaKu.
Wahai hamba-hambaku! Sekelian kamu membuat kesalahan pada waktu malam dan
siang dan Akulah yang sahaja yang mengampunkan segala dosa. Maka mintalah
keampunan daripadaKu, nescaya Aku akan mengampunkan segala dosa-dosa kamu.
Wahai hamba-hambaku! Kamu sekelian tidak mampu merancang sesuatu mudharat
untuk memudharatkan Aku, dan kamu tidak mampu merancang sesuatu menafaat untuk
memenafaatkan Aku.
Wahai hamba-hambaku! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang
yang terkemudian di antara kamu bersatu, samada dari jenis manusia atau jin,
semuanya bertaqwa seperti taqwanya hati seorang manusia di antara kamu, nescaya
yang demikian itu tidak akan menambahkan barang sedikit pun pada kerajaanKu.
Wahai hamba-hambaku! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang
yang terkemudian di antara kamu bersatu, samada dari jenis manusia atau jin,
semuanya berhati jahat seperti jahatnya hati seorang manusia di antara kamu,
nescaya yang demikian itu tidak akan mengurangkan barang yang sedikit pun pada
kerajaanKu.
Wahai hamba-hambaku! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang
yang terkemudian di antara kamu bersatu, samada dari jenis manusia atau jin,
semuanya berkumpul pada sebuah tanah lapang lalu masing-masing meminta padaKu,
nescaya Aku akan memperkenankan kepada tiap-tiap seorang itu akan
permintaannya, nescaya yang demikian tidak akan mengurangkan sedikit pun dari
apa yang Aku miliki, melainkan seperti terkurangnya sebatang jarum yang jatuh
ke dalam laut.
Wahai hamba-hambaku! Sebenarnya semua itu adalah amalan-amalan kamu yang Aku
catitkan bagi kamu sekelian, kelak di kemudian hari akan Aku balas atas
tiap-tiap satu daripadanya. Oleh itu, barangsiapa menerima kebaikan hendaklah
ia memuji Allah dan barangsiapa yang menerima sebaliknya janganlah ia mencela
kecuali dirinya sendiri. "
Hadis Keduapuluh Lima
Dari Abu Dzar Al-Ghafiri
R.A jua, bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W,
bertanya kepada Nabi S.A.W : " Wahai Rasulullah ! Orang-orang kaya telah
lebih banyak mendapat pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang,
berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah pula dengan harta
kekayaan mereka yang lebih itu."
Bersabda Nabi S.A.W : " Bukankah Tuhan telah menunjukkan kamu cara-cara
bagaimana kamu boleh bersedekah ? Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu
sedekah, dan tiap-tiap takbir itu sedekah, dan tiap-tiap tahlil itu sedekah,
dan pada tiap-tiap tahmid itu sedekah dan pada tiap-tiap tahli itu sedekah, dan
menyuruh berbuat kebaikan itu sedekah dan melarang membuat kejahatan itu
sedekah, dan persetubuhan sesaorang dengan isteri juga sedekah. "
Bertanya para sahabat : " Ya Rasulullah ! Adakah sesaorang kami yang
memuaskan syahwat dengan isterinya mendapat pahala juga ? "
Bersabda Rasulullah S.A.W : " Apakah pendapat kamu sekiranya sesaorang itu
melepaskan syahwatnya pada yang haram, adakah dosa atasnya ? Demikianlah
pula, jika ia melepaskan syahwatnya pada yang halal, adalah baginya pahala.
"
Hadis Keduapuluh Enam
Daripada Abu Hurairah
R.A : Bahawa Nabi S.A.W telah bersabda : " Setiap anggota manusia harus
membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan antara
dua orang adalah sedekah. Dan engkau menolong sesaorang menaiki tunggangannya
atau pun engkau menolong mengangkat baginya barang-barang ke atas tunggangnya
adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. Dan pada tiap-tiap langkah
menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari
jalan laluan juga menjadi sedekah. "
Hadis Keduapuluh Tujuh
Dari An-Nawwas bin
Sim'an R.A, dari Nabi S.A.W yang bersabda : " Kebajikan itu adalah budi
pekerti yang baik. Dan dosa pula adalah apa yang tersimpul di dalam diri engkau
dan engkau benci bahawa ia diketahui manusia mengenainya.
~ Riwayat Muslim
Dari Abi Wabishah bin Ma'bad r.a : " Bahawa aku datang kepada Rasulullah
SAW lalu banginda bertanya : ' Engkau datang bertanyakan erti kebajikan ? ' Aku
menjawab : ' Ya '. Sabda Rasulullah SAW lagi : ' Tanyalah hati engkau. '
Kebajikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya serta
mententeramkan hati. Manakala dosa pula ialah apa yang mengganggu jiwa dan
meragui dalam dada, walaupun orang ramai telah memberikan engkau fatwa dan
terus menfatwakan sesuatu.' "
Hadis Keduapuluh Lapan
Dari Abi Najih bin
Al-Irbadh bin Sariyah, katanya : "Rasulullah S.A.W telah memberikan suatu
nasihat kepada kami yang mengeletarkan hati dan menitiskan air mata. Maka kami
berkata kepadanya: 'Wahai Rasulullah, seolah-olah ini suatu nasihat yang terakhir,
maka berikanlah kepada kami suatu pesanan. ' Sabda Rasulullah S.A.W: 'Saya
berpesan kepada kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah Azza wajalla serta
mendengar dan taat sekalipun kepada seorang hamba yang memerinta kamu.
Sesungguhnya orang-orang yang masih hidup di antara kamu akan menyaksikan
perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan dan
sunnah Khalifah Ar-Rasyiddin Al-Mahdiyyin yang beroleh petunjuk (daripada
Allah) dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu (berpegang teguh dengannya dan
jangan dilepaskan sunnah-sunnah itu).
Dan jauhilah kamu dari pekara-pekara yang diadakan, kerana sesungguhnya
tiap-tiap bida'ah itu menyesatkan.'
Hadis Keduapuluh Sembilan
Dari Muaz bin Jabal R.A,
berkata: "Khabarkan kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku masuk ke
dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka."
Jawab Nabi S.A.W: "Sebenarnya engkau telah bertanya suatu pekara yang
besar, dan sesungguhnya amat mudah sekali bagi sesiapa yang dimudahkan oleh
Allah Ta'ala, iaitu : Hendaklah engkau menyembah Allah dan tidak
menyekutukanNya dengan suatu yang lain. Engkau mendirikan sembahyang,
mengeluarkan zakat, berpuasa sebulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke
Baitullah. "
Kemudian Nabi bersabda lagi : " Mahukah engkau aku khabarkan pokok amalan,
tiangnya dan kemuncaknya? " Aku menjawab : " Mahu, ya Rasulullah .
" Sabda baginda : " Pokok amalan ialah Islam, tiangnya ialah
sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad. "
Kemudian Nabi bersabda lagi : " Mahukah engkau aku khabarkan kunci kepada
semua pekara ini ? " Aku menjawab : " Mahu, ya Rasulullah. "
Lalu baginda memegang lidahnya seraya berkata : " Awas, jaga ini
baik-baik. "
Aku bertanya : " Ya Rasulullah, adakah kami akan dituntut kerana berkata
dengannya ? " Baginda lalu menjawab : " Dan tidak akan dicampakkan
manusia ke atas muka mereka atau batang hidung mereka ke dalam neraka,
melainkan hasil tutur bicara mereka. "
Hadis Ketigapuluh
Dari Abi Tsa'labah
Al-Khusani, Jurthum bin Nashir R.A, daripada Rasulullah S.A.W, yang bersabda :
" Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memfardhukan beberapa kewajipan, maka
janganlah kamu mengabaikannya. Dan ia telah menetapkan beberapa hudud ( batasan
), maka janganlah kamu melampauinya. Dia telah mengharamkan beberapa benda maka
janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia telah mendiamkan beberapa pekara sebagai
suatu rahmat terhadap kamu, bukan kerana lupa maka janganlah kamu membahas
mengenainya. "
Hadis Ketigapuluh Satu
Dari Abu Abbas, Sahil
bin Saad As-Sa'idd R.A, berkata: " Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah
S.A.W dan bertanya: ' Ya Rasulullah, tunjukkan aku suatu amalan, sekiranya aku
buat, nescaya aku dicintai oleh Allah dan orang ramai. '
Maka dijawab Nabi : ' Hendaklah zahid di dunia, nescaya engkau dicintai oleh
Allah dan engkau zahid pada apa yang ada di sisi manusia, maka nescaya engkau
dicintai oleh orang ramai. '
Hadis Ketigapuluh Dua
Dari Abi Said Sa'd bin
Malik bin Sinan Al-Khudri R.A, bahawasanya Rasulullah S.A.W pernah bersabda :
" Tiada mudharat dan tiada memudharatkan. "
Hadis Ketigapuluh Tiga
Dari Ibn Abbas R.A
bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda : " Jika dilayankan setiap orang dengan
tuntutannya, nescaya ada orang yang menuntut harta benda orang lain dan ada
pula yang menuntut darahnya. Akan tetapi yang menuntut itu harus menbawa saksi,
manakala yang memungkiri harus bersumpah. "
Hadis Ketigapuluh Empat
Dari Abi Said Al-Khudri
R.A, katanya : " Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : "
Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia
mengubahnya dengan tangannya ( kuasanya ). Sekiranya ia tiada berkuasa maka
hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya ( nasihatnya ). Sekiranya ia tiada
berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya ( tidak meredhai
perbuatan tersebut ). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.
Hadis Ketigapuluh Lima
Dari Abu Hurairah R.A,
katanya : " Telah bersabda Rasulullah S.A.W : ' Janganlah kamu
berdengki-dengkian, dan jangan kamu tipu-menipu, dan jangan benci-membenci, dan
jangan musuh memusuhi, dan jangan kamu berjual beli atas jual beli setengah
yang lain, dan jadilah kamu sekelian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.
Seorang Muslim adalah bersaudara sesama Muslim, tidak boleh menganiayanya,
tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustainya dan tidak boleh
menghinainya.
Taqwa itu berpunca dari sini - sambil Nabi SAW menunjukkan ke dadanya tiga
kali. Sudah memadailah kejahatan seorang itu jika ia menghina saudaranya yang
Islam. Seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain diharamkan darahnya,
harta bendanya dan kehormatannya. ' "
Hadis Ketigapuluh Enam
Dari Abu Hurairah R.A.,
dari Nabi S.A.W, dari Nabi S.A.W, yang bersabda: "Barangsiapa yang
melapangkan seorang mukmin suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia,
nescaya Allah akan melepaskan dirinya dari suatu kesusahan dari
kesusahan-kesusahan di hari kiamat.
Dan barangsiapa yang meringankan penderitaan seorang yang susah, nescaya Allah
akan meringankan penderitaan dirinya di dunia dan di akhirat.
Barangsiapa yang menutup keaipan seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup
keaipannya di akhirat. Dan Allah selalu menolong hambaNya, selagi hambaNya
berusaha menolong saudaranya.
Barangsiapa yangmenuju satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan
memudahkan suatu jalan baginya ke syurga. Dan tidak berhimpun suatu kelompok
manusia dalam suatu rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca Kitabullah dan
mempelajarainya antara sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas perhimpunan
mereka ketenteraman, diliputi oleh rahmat., di kelilingi oleh para Malaikat dan
disebut Allah kepada sesiapa yang di sisiNya. Sesiapa yang dilengahkan oleh
amalannya maka tidak akan dipercepatkan oleh keturunannya."
Hadis Ketigapuluh Tujuh
Dari Ibn Abbas R.A dari
Rasulullah S.A.W yang meriwayatkan hadis ini daripada Tuhannya Tabaraka Wa
Ta'ala, katanya : " Sesungguhnya Allah telah menetapkan yang baik dan yang
jahat, dan telah menerangkan keduanya itu. Maka barangsiapa yang bercita kepada
kebaikan, kemudian ia tidak mengerjakannya - Allah akan mencatit disisinya satu
hasanah yang sempurna. Dan jika ia melaksanakan, nescaya Allah akan mencatitkan
di sisiNya sepuluh hasanah hingga tujuh ratus kali lipat ganda dan hingga
sampai beberapa kali ganda banyaknya. Dan jika ia bercita-cita mengerjakan
sesuatu kejahatan kemudian tidak dilakukannya, Allah akan mencatitkan di
sisiNya satu hasanah yang sempurna. Jika ia meneruskan cita-citanya yang jahat
itu dan melakukannya, Allah akan mencatitkan baginya satu kejahatan
sahaja. (Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih keduanya).
Hadis Ketigapuluh Lapan
Dari Abu Hurairah R.A
bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : " Sesungguhnya Allah Ta'ala
berfirman : Barangsiapa yang memusuhi waliKu (orang yang setia padaku),
maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang
hambaku yang bertaqarrub (beramal) kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Ku cintai
hanya dari ia menunaikan semua yang ku fardhukan ke atas dirinya. Dan hendaklah
hambaKu sentiasa bertaqarrub dirinya kepadaKu dengan nawafil (ibadat sunat)
sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah
Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai
penghilantannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia
bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan sekiranya
ia meminta kepadaKu nescaya Aku berikan kepadanya, dan sekiranya ia memohon
perlindungan kepadaKu nescaya Aku lindungi ia.
Hadis Ketigapuluh
Sembilan
Dari Ibn Abbas R.A,
bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Sesungguhnya Allah memaafkan
bagiku daripada umatku segala perbuatan dari kesilapan dan kelupaan dan segala
yang dipaksa ke atas diri mereka.
Hadis Keempatpuluh
Dari Ibn Umar R.A.,
katanya: " Rasulullah S.A.W telah memegang bahuku dan bersabda : '
Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ' Maka
Ibn Umar berkata : "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah
engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah
engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit.
Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati."
Hadis Keempatpuluh Satu
Dari Abu Muhammad
Abdullah bin Amru bin Al-Ash R.A katanya: "Telah bersabda Rasulullah
S.A.W: 'Tiada beriman sesaorang dari kamu sehingga hawa nafsunya patuh kepada
apa yang aku sampaikan.' "
Hadis Keempatpuluh Dua
Dari Anas R.A katanya:
"Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: 'Telah berfirman Allah Ta'ala:
Wahai anak Adam! Setiap
kali engkau berdoa berharap kepadaKu, Aku akan tetap mengampunimu atas segala
dosa yang engkau lakukan, dan Aku tiada peduli.
Wahai anak Adam! Andai
kata dosa-dosa kamu setinggi langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya
Aku akan mengampunimu.
Wahai anak Adam! Andai
kata engkau datang padaku dengan dosamu sepenuh bumi ini, kemudian engkau
menemuiKu, pada hal tiada engkau menyekutui akan Aku dengan sesuatu pun,
nescaya Aku akan datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.
Semoga hadis-hadis 40 Imam An-Nawawi ini dapat menjadikan kita lebih terdidik dan dapat memantapkan lagi ilmu dan keimanan kepada Allah S.W.T tanpa sebarang ragu-ragu. Semoga bermanfaat di dunia dan juga di akhirat.
0 Comments