Pokok/Pohon adalah makhluk Allah S.W.T yang mempunyai banyak hikmah yang boleh diambil
pengajaran dan tauladan untuk digunakan dalam kita menempuh hari-hari di dunia
yang fana ini. Penciptaan pokok mengandungi banyak hikmah bermula dari tanah,
biji benih, akar, batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buah. Tetapi malangnya
manusia pada zaman ini tidak menggunakan akal fikiran mereka untuk merenung dan
memikirkan hikmah yang besar disebalik penciptaan pokok. Hanya orang-orang yang
berpandangan jauh dan terang mata hatinya serta mahu berfikir sahaja akan
nampak akan hikmah yang Allah S.W.T ingin ajarkan kepada kita melalui
penciptaan makhluk yang bernama pokok ini.
Kehidupan
kita di dunia ini dengan Allah S.W.T sebenarnya ada persamaan dengan sebatang
pokok dengan biji benih (hanya sekadar kiasan). Perkara ini sebenarnya boleh kita mengambil pelajaran
untuk kita Sentiasa Ingat Allah dan menjauhi sifat sombong.
Untuk
melihat hikmah pokok ini, lihatlah pokok bermula daripada bawah (biji benih)
yang mengeluarkan akar, batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buah. Lihat
dari bawah hingga membawa ke atas. Diulangi semula dengan pandangan yang
bermula dari atas membawa ke bawah.
Asal biji
benih yang tidak mempunyai apa-apa menjadi tumbuh sampai boleh mengeluarkan
akar, dari akar pergi ke batang, dari batang pergi ke dahan, dari dahan pergi
ke ranting sampailah ke pucuk / Buah / Biji Buah. Semua itu terhasil dari
sebiji benih yang satu.
Lihatlah
bermulanya pokok itu adalah dari perkara yang satu iaitu biji benih. Dari yang
satu itulah membawa kepada yang banyak menjadi pokok yang megah dan cantik.
Samalah seperti kita, seluruh alam dan makhluk adalah datangnya daripada Allah
Yang Satu.
”Pandang yang banyak kepada yang satu dan pandang yang satu kepada yang banyak”
Dari yang
satu itulah sampai menjadi sepohon pokok kayu yang besar. Semua yang tersergam
itu asal datangnya daripada benih yang satu. Sesudah pokok dapat berdiri megah
di muka bumi ini. Pokok itu sudah lupa akan asal mula kejadiannya. Sudah lupa
bahawa asalnya dari biji benih yang satu. Biji benih sudah tidak dipandang dan
dilupakan. Samalah seperti kita yang lupa kepada Allah S.W.T kerana kita
sombong dengan apa yang dikurniakan Allah kepada kita sampai kita lupa yang
semua nikmat itu adalah milik kepunyaan Allah.
Firman
Allah S.W.T: ”Padahal Allah-lah yang menciptakanmu dan apa yang kamu perbuat
itu.” (QS. As-Shaffat 37: 96)
Allah
mencipta kita di dunia ini adalah bertujuan untuk dijadikan sebagai tempat mengzahirkan
dan menyatakan sifat Kebesaran-Nya. Yakinilah dengan sebenar-benar yakin yang
kita ini sebenarnya kosong, lemah, miskin, dan bersifat tidak mampu berbuat
sesuatu melainkan Allah lah yang mengizinkan kita melaksanakan sesuatu. Jadilah
seorang hamba yang bersyukur dan sentiasa menjauhi sifat riak, takbur, angkuh,
bongkak dan sombong.
Percayalah, kita ini adalah daripada Allah S.W.T Yang Satu, Tunggal dan Maha Esa.
Penting!!
Semua penciptaan langit dan bumi semuanya hanyalah seperti sebutir pasir bagi Allah, Zat Allah lebih hebat lagi dari seisi langit dan bumi. Maha Suci Allah dari segala perumpamaan.
Semoga artikel ini dapat memberi manfaat dan semoga kita dapat mengambil pelajaran daripada makhluk Allah yang bernama pokok/pohon.
0 Comments