Terdapat pelbagai cara untuk mengenal Allah, mengenali diri adalah salah satu cara / pintu untuk mengenal Allah.


Kenal diri supaya kenal Allah TIDAK membawa maksud yang kita setara dengan Allah. Kita belajar mengenal diri supaya kita sedar bahawa kita adalah makhluk yang lemah dan kosong. Apabila kita sedar yang diri kita adalah lemah, miskin, kosong dan tidak berdaya, barulah kita nampak yang Allah itu kuat, kaya & memiliki segalanya. Ingat, hilangkan sifat keberadaan diri supaya kita sedar akan keberadaan Allah dan kewujudan Allah. Inilah Cara Untuk Ingat Allah.


Sebagai umat islam, kita wajib percaya dan yakin bahawa segala kepunyaan kita seperti harta, kuat, ilmu, ingatan, pancaindera dan di sekeliling kita itu adalah Hak Milik Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T: ”Allah-lah yang menciptakan kamu dan apa-apa yang kamu perbuat”.
(QS. As-Shaffat 37: 96)

Hidup kita di dunia ini cuma satu tujuan iaitu untuk kenal Allah S.W.T. Allah yang menjadikan kita dan alam semesta ini, oleh itu bertauhidlah serta percayalah adanya kita di dunia ini hanyalah untuk menyatakan dirinya iaitu Allah S.W.T.

Untuk mengenali Allah, hendaklah kita belajar Sifat 20 dengan memahami secara mendalam. Apabila kita sudah tahu dan faham sifat itu, cuba kita bawa pada diri kita sendiri, sifat itu semua ada pada kita.

SIFAT ALLAH.

1. Ada.
2. Terdahulu.
3. Kekal.
4. Berdiri sendiri.
5. Berbeza dengan makhluknya.
6. Esa.
7. Kuasa.
8. Berkehendak (Berkemahuan).
9. Mengetahui.
10. Hidup.
11. Mendengar.
12. Melihat.
13. Berbicara.
14. Keadaannya berkuasa.
15. Keadaannya yang berkehendak menentukan.
16. Keadaannya yang mengetahui.
17. Keadaannya yang hidup.
18. Keadaannya yang mendengar.
19. Keadaannya yang melihat.
20. Keadaannya yang berbicara.

SIFAT MAKHLUK.

1. Tiada.
2. Baru.
3. Berubah-ubah dan akan binasa.
4. Menyerupai sesuatu.
5. Berdirinya dengan yang lain.
6. Lebih dari satu, berbilang.
7. Lemah.
8. Tidak berkemampuan iaitu terpaksa.
9. Bodoh.
10. Mati.
11. Tuli.
12. Buta.
13. Bisu.
14. Keadaanya yang lemah.
15. Keadaannya tidak menentukan atau terpaksa.
16. Keadaannya yang bodoh.
17. Keadaannya yang mati.
18. Keadaannya yang tuli.
19. Keadaannya yang buta.
20. Keadaannya yang bisu.

Inilah sifat kita. Percaya dan yakinlah kita yang sifat badan kita yang kita agung-agungkan selama ini rupanya tiada dan bukan hak milik kita. Tapi Hak Milik Allah Yang Satu.

”Sesungguhnya hati-hati manusia seluruhnya diantara dua jari dari jari-jemari Ar-Rahman seperti satu hati; Dia (Allah) memalingkannya kemana saja yang dikehendaki-Nya.” (Sahih Riwayat Muslim)

Untuk kenal Allah, kita jangan sekali-kali terlihat diri. Lihatlah pada sifat Allah, rasakan di hati akan kebesaran Allah pada kita.

Firman Allah S.W.T: ”Allah yang mencipta tiap-tiap sesuatu dan Dia menjadi wakil pada tiap-tiap sesuatu”. (QS. Az-Zumar 39: 62)

INGAT, jangan sesekali mengaku kita Allah, kita manusia adalah makhluk yang bersifat tiada. Siapa yang mengaku dia Allah itu adalah syirik yang besar. Orang yang mengaku dia Allah itu sebenarnya dia belum mengenal Allah.

Kenapa kita tidak boleh mengaku Allah? Bila kita mengaku Allah bermakna akan wujud kita dan wujud Allah, kita belajar nak Esakan Allah, Allah itu satu, tunggal tiada yang wujud melainkan Allah. Sifat wujud itu hanya untuk Allah S.W.T.

Sesungguhnya Allah S.W.T itu tidak ada yang setara dengan-Nya.
Firman Allah S.W.T: Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia. (QS. Al-Ikhlas 112: 4)

Dalam kita belajar mengenal diri dan mengenal Allah, berhati-hati dan jangan sampai berlaku syirik kepada Allah. Perbuatan syirik ini kadang-kadang kita sendiri tidak sedar yang kita melakukannya. Berhati-hati dengan syirik kerana syirik ini seumpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam di malam gelap gelita.

Wallahu A’lam Bish Shawab.