Marah tidaklah menjadi satu kesalahan apabila kita ingin menegur dan mendidik seseorang, yang menjadi salahnya apabila ada yang mengungkapkan kata-kata yang tidak sopan seperti menghina, mengata dan sehingga ke tahap membuka aib orang itu. Sepatutnya, kita apabila ingin menegur sebaiknya bercakaplah dengan nada dan perkataan yang baik.

Kita sepatutnya fikir dan mengkaji bagaimana cara untuk menegur dan mendidik dengan perkataan yang baik, jangan terlalu mudah untuk melepaskan kata-kata yang buruk sehingga menyebabkan keadaan semakin teruk.


Contoh Situasi Ibu Bapa & Anak:-

Kalau zaman dulu ibu bapa marah anak-anak dengan perkataan yang agak berat dan kasar, sebab anak-anak pada zaman itu tidak ada kemudahan atau tempat bergantung selain mereka. Tapi pada zaman sekarang ini mungkin bila anak-anak dimarahi dengan kata-kata kasar dan berat boleh menyebabkan mereka lari dari rumah, sebab pada zaman sekarang ini terlalu banyak kemudahan untuk mereka gunakan.

Anak-anak itu adalah satu anugerah yang Allah S.W.T kurniakan kepada ibu bapa. Maka, jagalah dengan sebaik-baiknya dengan memberi tauladan yang baik serta menjadi contoh yang bagus kepada anak-anak.

Anak-anak pada zaman sekarang ini lebih cenderung untuk membalas balik kata-kata ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa seharusnya tidak menggunakan perkataan yang kasar tapi gunalah perkataan yang baik, bijak ataupun bahasa kiasan supaya anak itu sendiri dapat memikirkan kesalahannya dan memperbaiki dirinya. Sebab itu pendidikan agama dari peringkat awal sangat penting untuk diterapkan kepada anak-anak.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W: ”Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Kata-kata itu adalah doa. Seperti kisah Imam besar Masjidil Haram yang dimarahi ibunya. Ibunya kesal & marah kerana anaknya melakukan kesalahan. Si ibu berkata kepada anaknya “pergilah kamu, semoga Allah menjadikan kamu imam Masjid Al-Haram. Ternyata sekarang disebabkan kata-kata si ibu memarah anaknya dengan perkataan yang baik itu, hari ini Syeikh Abdur Rahman As-Sudais menjadi imam Masjid Al-Haram.

Cuba fikir, seseorang memarahi anaknya dengan bahasa kasar seperti degil, malas, kedekut dan menyusahkan. Adakah anak itu semakin baik? Tidak, malah semakin bertambah degil, malas, bakhil dan menyusahkan orang kerana kita tanpa sedar telah mendoakan mereka sebegitu.

Anak-anak zaman sekarang ini apabila dimarahi dengan bahasa yang keras dan buruk sebenarnya akan menyebabkan mereka berasa tercabar dan akan tetap meneruskan perangai buruk itu. Anak-anak itu akan menunjukkan ego nya dan ingin menunjukkan yang dirinya tidak bersalah. Sebab itu anak-anak sebegini tidak langsung mengendahkan kata-kata ibu bapa.

“Didiklah anak-anak kamu mengikut zaman mereka dan bukan mengikut zaman kamu dilahirkan” (Saidina Ali R.A).


Contoh Situasi Dalam Kalangan Rakan-Rakan.

Apabila kita menegur rakan kita dengan bahasa nada yang kasar, semestinya rakan kita itu akan berasa tercabar dengan tindakan kita walaupun dia tahu teguran kita itu adalah untuk kebaikan dirinya. Maka, dengan tindakan kita yang menggunakan kata-kata kasar itu akan menyebabkan pergaduhan yang mengakibatkan terputusnya tali persahabatan.


Perkara ini kerap berlaku kerana fitrah manusia yang kebanyakan dari kita apabila dimarahi sememangnya hati akan berasa marah, serabut dan tidak tenteram.



Maka, apabila kita ingin menegur rakan kita kerana melakukan kesalahan, sebaiknya gunalah kata-kata yang baik, sopan dan bijak supaya dirinya sendiri akan sedar akan silapnya.


Kesimpulannya.
berkata-katalah dengan nada dan gaya yang baik, supaya tali persaudaraan dan persahabatan tidak terjejas kerana tindakan kita yang tidak menjaga perkataan dengan sebaiknya. Marah itu antara perkara yang berkesan untuk mengubah seseorang ke arah lebih baik jika kita pandai menggunakannya, dan marah juga mampu mencipta satu permusuhan jika kita tidak pandai menggunanya. Sama-samalah ibu bapa, guru-guru, anak-anak, rakan-rakan dan seluruh masyarakat mengubah cara menegur supaya teguran kita diterima dan berkesan kepada orang yang ditegur itu.

Wallahu A’lam Bish Shawab.