Pernah tak kita terfikir, adakah hamba yang bersifat alim dan warak atau pun Allah Yang Bersifat Alim dan Warak? Adakah hamba layak digelar alim dan warak ?

Percaya, yakin dan ingatlah, hamba tidak akan sesekali mempunyai sifat alim dan warak jika Allah S.W.T tidak menetapkan ketetapan-Nya di Lauh Mahfuz untuk seseorang itu menjadi alim dan warak.

Firman Allah S.W.T.

”Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Rabb semesta alam.” (QS. At-Takwir 81: 29)

”Padahal Allah-lah yang menciptakanmu dan apa yang kamu perbuat itu.” (QS. As-Shaffat 37: 96)

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran di atas, perkara ini sangat jelas yang sesungguhnya kita sebagai hamba tidak akan mampu menjadi alim dan warak jika Allah tidak menghendaki kita untuk menjadi alim dan warak.

Gunalah Ayat Ini Dalam Hati Masing-Masing.

Ingat Ayat Ini, Allah mengzahirkan kebaikan, kealiman dan kewarakkan-Nya melalui manusia yang baik, alim dan warak maknanya, kita sebagai hamba tidak mempunyai sifat alim dan warak, tetapi Allah lah yang bersifat alim dan warak kerana kealiman dan kewarakkan seseorang itu tidak akan hadir jika Allah tidak meletakkan (mengzahirkan) kealiman dan kewarakkan-Nya kepada kita.

Walaupun kita tidak menyatakan atau mengzahirkan di bibir mulut yang Allah lah sebenarnya warak dan alim, tapi kita perlu ingat di hati yang susungguhnya hakikat alim dan warak itu adalah hak kepunyaan Allah Yang Satu.

Tidak Salah Tapi Kurang Tepat.

Tidak menjadi satu kesalahan jika ada orang menggelar kita atau kita menggelar seseorang itu alim dan warak, tetapi kita wajib ingat dan iktikad dalam hati sesungguhnya diri kita ini adalah makhluk yang lemah, kosong dan tidak berdaya melainkan Allah lah yang berkuasa menjadikan kita antara hamba yang alim dan warak. (ingatlah perkara ini dalam hati masing-masing)

Bahaya Riak Dengan Kealiman & Kewarakkan.

Antara impak negatif jika kita merasakan yang kita ini alim dan warak :-

1. Dibimbangi kita akan memandang rendah kepada orang lain di sekeliling kita.

2. Dibimbangi akan wujud sifat riak dalam diri kita terhadap Allah S.W.T tanpa kita sedar.

3. Dibimbangi akan merosakkan akidah kita sebagai seorang yang beriman.

4. Dibimbangi kita akan merasa cukup dengan ilmu di dada sehingga menyebabkan diri kita tidak lagi memandang dan menuntut ilmu daripada para guru. Ketahuilah, sesungguhnya bagi orang-orang yang merasa ilmunya sudah cukup, Allah akan menutup hatinya untuk menerima ilmu-ilmu yang lain. Belajarlah walaupun sesuatu ilmu itu sudah pun kita ketahui.

Penutup.

Sebab itu apabila kita beribadat, kita tidak boleh dan jangan sesekali berbangga dengan kealiman dan kewarakkan diri kita. Semasa beribadat, sepatutnya kita berasa BERSYUKUR dan BERTERIMA KASIH kepada Allah S.W.T kerana memilih kita menjadi antara hamba yang menunaikan ibadat.

Firman Allah S.W.T – ”Sesungguhnya segala-gala sesuatu telah kami jadikan sesuai dengan takdir yang telah ditentukan sebelumnya”. (QS. Al-Qamar 54: 49)

Allah memberitahu kita sesungguhnya ”SEGALA-GALA SESUATU” yang berlaku di alam ini semuanya telah pun ditetapkan sejak azali lagi sebelum kita diciptakan di bumi ini. Sedarlah, dan jangan sesekali berasa riak dengan alim dan warak diri kerana sifat riak, sombong, takbur dan bongkak ini adalah suatu perkara dosa yang besar. Sifat bangga diri ini tanpa kita sedar boleh membawa kepada syirik terhadap Allah. Esakan lah Allah dengan sebenar-benar mengEsakan, dan jangan menduakan Allah walau dengan apa sekali pun termasuk diri kita sendiri.

Wallahu A’lam Bish Shawab.