Sebagai umat islam, kita mestilah rajin berdoa dan yakin ketika berdoa serta percaya segala doa yang kita minta kepada Allah itu akan diperkenankan. Percayalah, setiap doa akan diperkenankan oleh Allah. Cuma, masanya kita tidak tahu sama ada dimakbulkan di dunia atau pun di akhirat kelak. Doa seseorang itu juga tidak semestinya dimakbulkan mengikut apa yang dia minta, tapi mungkin Allah akan memberi sesuatu yang berbeza. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.

Berikut Tips Yakin Ketika Berdoa.

1. Yakin yang sebenarnya kita ini hamba yang lemah dan tak mampu berbuat apa-apa tanpa keizinan dan ketetapan Allah S.W.T yang telah tertulis sejak awal lagi sebelum kita diadakan di dunia ini. Semua yang berlaku pada alam ini sebenarnya telah ditulis dan ditetapkan oleh Allah sendiri.

Firman Allah S.W.T - ”Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Rabb semesta alam.” (QS. At-Takwir 81: 29).

2. Mulakan doa dengan Basmalah (Bismillah).

3. Memuji Allah S.W.T serta berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W.

4. Dari mula hingga habis doa, rasakanlah di hati yang mengeluarkan kata-kata doa itu adalah daripada Allah Yang Satu, hilangkanlah sifat diri dan sifat keakuan serta rasakanlah kewujudan dan keberadaan Allah.

5. Ketika memohon ampun, hajat atau nikmat rasakanlah itu adalah kata-kata daripada Allah Yang Maha Esa. Rasakanlah di hati yang lafaz itu adalah daripada Allah semata-mata.

Firman Allah S.W.T - ”Padahal Allah-lah yang menciptakanmu dan apa yang kamu perbuat itu.” (QS. As-Shaffat 37: 96).

6. Ingat ayat ini ”Allah mengzahirkan doa-Nya melalui sesuatu yang berdoa” bermaksud, kita sebenarnya tidak mampu berdoa melainkan dengan kehendak dan keizinan Allah sejak awal lagi tertulis di Kitab Lauh Mahfuz sejak azali lagi.

Firman Allah S.W.T: ”Dan tidaklah engkau berada dalam suatu urusan, dan tidak membaca suatu ayat al-Quran serta tidak pula kamu melakukan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu ketika kamu melakukannya. Tidak lengah sedikit pun dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarrah, baik di bumi ataupun di langit. Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan yang lebih besar daripada itu, melainkan semua tercatat dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).” (QS. Yunus 10: 61)

7. Rasakanlah yang Allah sedang mendoakan kita melalui diri kita. Maka, berdoalah dalam keadaan BERSYUKUR dan BERTERIMA KASIH kepada Allah.

Allah S.W.T berfirman : Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina. (Surah Ghafir 40: 60).

8. Akhiri doa dengan selawat serta pujian kepada Allah S.W.T.

9. Jauhi perkara-perkara yang haram.

Semua doa akan dimakbulkan, melainkan menurut undang-undang Nya yang menyatakan sesuatu yang haram menjadi sebab doa tidak dimakbulkan.

Diceritakan ada laki-laki yang melakukan perjalanan jauh, tubuhnya diliputi debu lagi kusut, ia menadahkan tangannya ke langit seraya berdoa, ‘Ya Rabbku, Ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doa dikabulkan. (Hadis Riwayat Muslim).

10. Keyakinan yang mantap bahawa semua yang terjadi adalah daripada Allah Yang Satu.

Yakinlah segala doa itu akan diperkenan oleh Allah Azza Wa Jalla. Apabila kita yakin semuanya datang daripada Allah, ”In Sya Allah” semua doa akan dimakbulkan mengikut ketetapan-Nya. Apabila kita yakin semua doa itu adalah daripada Allah, maka yakinlah kita semua doa itu akan dimakbulkan. Mana mungkin perkara yang datang daripada Allah itu tidak akan diperkenankan oleh-Nya. Oleh itu, sentiasa yakinlah ketika berdoa. Semoga bermanfaat.

Wallahu A’lam Bish Shawab.