Tabiat memuji sambil mengeji ini seringkali berlaku dalam masyarakat kita, tanpa sedar sebenarnya mereka telah mengutuk, menghina, memandang rendah dan membuka aib orang lain. Perkara ini berlaku dan semakin hari semakin parah yang sehinggakan boleh mengakibatkan pergaduhan dan perpecahan.
“Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya maka Allah akan menutup aibnya di akhirat” (HR. at-Tirmidzi dan disahihkan oleh Al-Albani)
Contoh Situasi :- Apabila seseorang itu berjaya dalam pekerjaan misalnya. Juga dalam masa yang sama ada seseorang yang lain kurang berjaya dalam kerjayanya.
Apabila suasana di atas terjadi, segelintir masyarakat pun mula lah menjadikan mereka berdua ini sebagai bahan bualan, ada yang membanding-bandingkan kerjaya dan kelulusan mereka dan ada yang memuji bagaikan bintang bulan bagai, dan ada yang menghina seakan-akan sudah tidak ada harapan untuk orang itu.
Antara ayat-ayat yang mereka sering gunakan:-
”Syukurlah kamu berjaya, tak macam orang tuu.. kelulusan apa pun takda.”
”Oh, baguslah kamu ni, tak macam dia tuu.. bodoh.. apa pun takda.”
”Pandainya kamu ni, semua benda boleh buat, tak macam dia tuu.. apa benda pun tak boleh buat.”
”Oh hebatlah kamu, cerdik, bijak, pandai. taklah macam budak tuu.. engtah ada masa depan ke tidak.”
”Kau tengok anak dia, semuanya berjaya, tak macam keluarga orang tu.. anak-anak dia semua teruk.”
Fikir balik wahai manusia, adakah tabiat sebegini adalah suatu perkara yang kecil dan simple. Ketahuilah, sebenarnya tanpa sedar kamu semua telah dikategorikan sebagai pendosa. Perbuatan dosa dengan orang ini tidak sesekali akan terampun selagi kita sendiri tidak memohon ampun kepada dia.
Jika ada yang tergolong dalam golongan orang yang selalu mengungkapkan kata-kata di atas, sebaiknya hentikanlah, sebab dengan terzahirnya kata-kata itu di bibir mulut kita, ia boleh menyebabkan tercatatnya ”dosa free”
Apabila berlakunya perbalahan, mereka saling tuduh-menuduh. Mereka menyatakan orang ini dan orang itu yang memulakan pergaduhan. Sebenarnya mereka lupa, terjadinya satu perbalahan itu adalah kerana mulut mereka sendiri yang mengungkapkan kata-kata yang menyakitkan hati perasaan orang lain.
Perkara ini semakin hari semakin susah untuk dibendung, kerana masyarakat selalu mengucapkan kata-kata sebegini sehingga menyebabkan perkataan buruk ini telah sebati dengan hati dan lidahnya.
Hentikanlah tabiat buruk ni, makcik-makcik, pakcik-pakcik, mak, ayah, adik, abang, kakak sekalian. Benda-benda semacam ini sebenarnya tanpa kita sendiri sedar dapat mencetuskan satu permusuhan yang besar sehingga terputusnya tali silaturrahim.
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Rahmat tidak akan turun kepada kaum yang padanya terdapat orang yang memutuskan tali silaturahim” (Hadis Riwayat Muslim)
Jangan nanti di akhirat baru nak menyesal.
Di akhirat nanti, si pendosa ini pun akan tertanya-tanya, ”di manakah semua pahala-pahala amalan ku, dan kenapa pahala ku semakin menghilang, dan kenapa timbangan dosa ku semakin memberat.” Ketahuilah, semua pahala-pahala kamu akan diberikan kepada orang yang dahulu di dunia kamu mengutuknya. Jika pahala kamu tidak mencukupi untuk diberikan kepadanya, maka dosa-dosa orang itu akan diberikan kepada kamu sebagai ganti.
Semoga bermanfaat kepada semua yang membaca.
Wallahu A’lam Bish Shawab.
0 Comments