JIN adalah perkataan Arab yang apabila di Melayu
kan menjadi HANTU, orang Melayu ini kaya dengan kata-kata sehingga terwujudlah
nama-nama lain bagi hantu seperti Pocong, Pontianak, Hantu Raya dan sebagainya.
Jadi kesimpulannya HANTU = JIN. Jin juga kehidupannya sama seperti kita, mereka
juga makan, minum, beristeri, beranak dan bersegala macam hal lagi. Jin juga
mempunyai bangsa-bangsa tersendiri seperti manusia juga. Jin juga mempunyai
agamanya masing-masing termasuk agama Islam, sama seperti manusia ada golongan
yang beriman dan ada golongan yang engkar. Di bawah ini tersenarai beberapa
bukti kewujudan Jin atau Hantu yang diambil berdasarkan ayat-ayat al-Quran.
Dan mereka menjadikan jin
sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan
mengada-adakan bagiNya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak
berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Ia dari
apa yang mereka sifatkan! (Al-An'aam
6:100)
Dan demikianlah Kami jadikan
bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada
setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk
memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak
melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari
perbuatan yang kufur dan dusta) itu. (Al-An'aam
6:112)
Dan (ingatlah) hari (kiamat
yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai
sekalian jin (Syaitan-syaitan)!
Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan
berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai
Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat
kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah
sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi
kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu
di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu
(wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. (Al-An'aam 6:128)
Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang
kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada
kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu
tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: "Kami
menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan
Rasul-rasul itu)". Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh
(kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari
akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah
orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).
(Al-An'aam 6:130)
Dan bagi tiap-tiap seorang
(dari manusia atau jin), beberapa
darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah
kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan. (Al-An'aam 6:132)
Allah berfirman: "Masuklah
kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat
yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila
mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai
golongan yang pertama di antara mereka: "Wahai Tuhan kami, mereka inilah
yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang
berlipat ganda dari (azab) neraka". Allah berfirman: "Kamu
masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak
mengetahui". (Al-A'raaf 7:38)
Dan sesungguhnya Kami jadikan
untuk neraka jahanam banyak dari jin
dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya
(ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat
dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu
mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak,
bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A'raaf 7:179)
Tetapi orang-orang yang telah
diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah)); dan untuk
(perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang
demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka
jahannam dengan sekalian jin dan
manusia (yang berdosa)" (Hud 11:119)
Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya
menyerap ke liang bulu roma. (Al-Hijr
15:27)
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan
sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan
yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri". (Al-Israa' 17:88)
Dan (ingatkanlah peristiwa)
ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam";
lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap
perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan
keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain
daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi
orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu. (Al-Kahfi 18:50)
Dan dihimpunkan bagi Nabi
Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga
serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (An-Naml 27:17)
Berkatalah Ifrit dari golongan
jin: "Aku akan membawakannya
kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah
kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". (An-Naml 27:39)
Dan (bagi menolak rayuan itu
Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan
(memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap
seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada
tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal
dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa
dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa
hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)". (As-Sajdah 32:13)
Dan Kami kurniakan kepada Nabi
Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya
adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah
menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya matair dari tembaga;
dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin
untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah
Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka. (Saba' 34:12)
Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari
bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan
yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya.
(Setelah itu Kami perintahkan): "Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk
bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang
bersyukur. (Saba' 34:13)
Setelah Kami tetapkan
berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka
tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan
tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia,
mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya
di dalam azab (kerja berat) yang menghina. (Saba'
34:14)
Malaikat menjawab: "Maha
Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang kami
hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada hubungan
dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan
mereka adalah menyembah Jin Syaitan;
kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin
Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)". (Saba' 34:41)
Dan mereka mengadakan
(hubungan) nasab (keluarga) antara Dia (Allah) dan jin. Dan sesungguhnya jin
telah mengetahui bahawa mereka pasti akan diseret (ke neraka). (As-Saaffaat 37:158)
Dan (Kami mudahkan baginya
memerintah) Jin Syaitan; (ia
memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi
penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing). (Saad 38:37)
Dan Jin-jin Syaitan yang lain
dipasung dalam rantai-rantai belenggu. (Saad
38:38)
Dan Kami adakan untuk mereka
teman-teman rapat (dari jin dan
manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman
sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta
perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu)
tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat)
dari jin dan manusia yang terdahulu
daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan
hidupnya). (Fussilat 41:25)
Dan orang-orang yang kafir
berkata: "Wahai Tuhan kami! Perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang
telah menyesatkan kami dari jin dan
manusia, untuk kami meletakkan mereka di bawah tapak kaki kami, supaya mereka
menjadi golongan yang terkebawah dalam kehinaan". (Fussilat 41:29)
Mereka (yang ingkar derhaka
seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama
dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka - dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya
mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi. (Al-Ahqaaf 46:18)
Dan bagi mereka masing-masing
(dari puak jin dan manusia - yang
berbuat baik dan yang berbuat jahat) disediakan berbagai peringkat (balasan)
yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, dan (ketetapan yang demikian
ialah) supaya Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka, sedang
mereka tidak dirugikan (sedikitpun). (Al-Ahqaaf
46:19)
Dan (ingatkanlah peristiwa)
semasa Kami menghalakan satu rombongan jin
datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka
menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah
kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah
selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran
Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. (Al-Ahqaaf 46:29)
Dan (ingatlah) Aku tidak
menciptakan jin dan manusia
melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Dzaariyaat 51:56)
Maka yang mana satu di antara
nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (Ar-Rahmaan 55:13)
Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang
menjulang-julang; (Ar-Rahmaan 55:15)
Kami hanya akan menguruskan
hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin! (Ar-Rahmaan 55:31)
Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat
menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari
kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan
menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami;
masakan dapat)! (Ar-Rahmaan 55:33)
Kamu (wahai golongan yang
kufur ingkar dari kalangan jin dan
manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga
cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat
mempertahankan diri (dari azab seksa itu); (Ar-Rahmaan
55:35)
Pada masa itu tiada
sesiapapun, sama ada manusia atau jin,
yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut
keadaannya); (Ar-Rahmaan 55:39)
Di dalam Syurga-syurga itu
terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka
semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin; (Ar-Rahmaan 55:56)
(Bidadari-bidadari itu) tidak
pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin; (Ar-Rahmaan 55:74)
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku
bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata:
`Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya
dan kandungannya sungguh menakjubkan! (Al-Jinn
72:1)
`Dan bahawa sesungguhnya
(nyatalah kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta
terhadap Allah. (Al-Jinn 72:5)
`Dan bahawa sesungguhnya
adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan
melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu
mereka menjadikan golongan jin
bertambah sombong dan jahat. (Al-Jinn
72:6)
(Nabi Muhammad diwahyukan
menerangkan lagi): "Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan
(Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan,
terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka. (Al-Jinn 72:16)
"(Iaitu pembisik dan
penghasut) dari kalangan jin dan
manusia". (An-Naas 114:6)
Kesimpulannya, percayalah sesungguhnya di alam ini
bukan manusia, binatang, tumbuhan sahaja yang menetap di bumi ini, malah bangsa
jin atau dalam bahasa Melayu nya hantu juga adalah penghuni di atas muka bumi
ini. Sebagai seorang hamba yang beriman (percaya), dengan hanya berpandukan
al-Quran sahaja sebenarnya sudah cukup mampu memantapkan kepercayaan kita
tentang perkara-perkara yang ghaib termasuklah keberadaan jin di alam ini tanpa
memerlukan bukti-bukti yang lain. Begitulah bukti-bukti kewujudan jin atau
hantu yang terkandung dalam al-Quran. Semoga Bermanfaat, Sekian.
Wallahu A’lam Bish Shawab.
0 Comments