Kali ini saya nak kongsikan koleksi Hadis Sahih Bukhari sebagai panduan dan rujukan bagi semua umat Islam terutama masyarakat Malaysia dan mereka yang faham berbahasa Melayu, Ini kerana Koleksi Hadis Sahih Bukhari ini adalah menggunakan bahasa Melayu. 


Pendahuluan Sahih Bukhari

Dari Umar bin Khathab R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya.

Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah.” [0001]


Wahyu

1. Dari ‘Aisyah R.HA: Harits bin Hisyam R.A pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, “Bagaimanakah caranya wahyu turun kepada anda (Rasulullah S.A.W)? Jawab Rasulullah S.A.W, “Kadang-kadang wahyu itu datang kepadaku (kedengaran) seperti bunyi loceng. Itulah yang sangat berat bagiku. Setelah bunyi tu berhenti, lantas aku mengerti apa yang dikatakannya.

Kadang-kadang malaikat menjelma seperti seorang laki-laki datang kepadaku. Dia berbicara kepadaku dan aku mengerti apa yang dikatakannya.

Kata ‘Aisyah R.HA, “Aku pernah melihat Nabi S.A.W, ketika wahyu turun kepada beliau pada suatu hari yang amat dingin. Setelah wahyu itu berhenti turun, kelihatan dahi Nabi S.A.W bersimbah peluh.” (Hadis 0002)


2. Dari ‘Aisyah R.HA: Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah S.A.W ialah berupa mimpi-mimpi baik waktu beliau tidur. Biasanya mimpi itu terlihat jelas oleh beliau, seperti jelasnya cuaca pagi. Semenjak itu hati beliau tertarik hendak mengasingkan diri ke Gua Hira.

Di situ beliau S.A.W beribadat beberapa malam, tidak pulang ke rumah isterinya. Untuk itu beliau S.A.W membawa perbekalan secukupnya. Setelah perbekalan itu habis, beliau kembali kepada Khadijah (Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah S.A.W yang pertama), untuk mengambil perbekalan secukupnya. Kemudian beliau kembali ke Gua Hira, hingga suatu ketika datang kepadanya Al Haq (kebenaran atau wahyu), iaitu sewaktu beliau S.A.W berada di Gua Hira itu.

Malaikat datang kepadanya, lalu katanya, “Bacalah!” Jawab Nabi S.A.W, “Aku tidak pandai membaca.” Kata Nabi S.A.W selanjutnya menceritakan, “Aku ditarik dan dipeluknya sehingga aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskannya dan disuruh pula membaca. “Bacalah!” katanya. Jawabku, “Aku tidak pandai membaca.” ........ (dan seterusnya)

 Aku ditarik dan dipeluknya untuk ketiga kalinya, kemudian dilepaskannya seraya berkata:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

“Bacalah dengan nama tuhanmu yang menjadikan

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ

Yang menjadikan manusia dari segumpal darah

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

Bacalah! Demi Tuhanmu Yang Maha Mulia“

(QS. Al-'Alaq [96]: 1-3)

Setelah itu Nabi S.A.W pulang ke rumah Khadijah binti Khuwailid, lalu berkata, “Selimuti aku! Selimuti aku!” Lantas oleh Khadijah hingga hilang rasa takutnya. Kata Nabi S.A.W kepada Khadijah (setelah diceritakan semua kejadian yang baru dialaminya itu), “Sesungguhnya aku cemas atas diriku (akan binasa).”

Kata Khadijah, “Jangan takut! Demi Allah! Tuhan sekali-kali tidak akan membinasakan anda (Nabi S.A.W). Anda selalu menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang yang sengsara, mengusahakan (mengadakan) barang yang belum ada, memuliakan tetamu, menolong orang yang kesusahan kerana menegakkan kebenaran.”

Setelah itu Khadijah pergi bersama Nabi S.A.W menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, iaitu anak pakcik Khadijah yang memeluk agama nasrani (kristian) pada masa jahiliyyah itu. Dia pandai menulis buku dalam bahasa Ibrani (Hebrew / Bahasa Yahudi). Maka disalinnya kitab Injil dari bahasa Ibrani seberapa dikehendaki Allah dapat disalinnya (tidak pasti berapa banyak yang telah disalinnya. Usianya telah lanjut dan matanya telah buta.

Kata Khadijah kepada Waraqah, “Hai anak pakcikku! Dengarkanlah khabar dari anak saudara anda (Nabi Muhammad S.A.W) ini.” Kata Waraqah kepada Nabi S.A.W, “Wahai anak saudaraku! Apakah yang telah terjadi atas diri anda?” Lalu Rasulullah S.A.W menceritakan kepadanya semua peristiwa yang telah dialaminya.

Berkata Waraqah, “Inilah Namus (Malaikat) yang pernah diutus Allah kepada Nabi Musa. Wahai, semoga saya masih hidup ketika itu, iaitu ketika anda diusir oleh kaum anda.” Maka bertanya Rasulullah S.A.W, “Apakah mereka akan mengusirku?” Jawab Waraqah, “Ya, betul! Belum pernah seorang jua pun yang diberi wahyu seperti anda, yang tidak dimusuhi orang. Apabila saya masih mendapati hari itu, niscaya saya akan menolong anda sekuat-kuatnya.”

Tidak berapa lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu pun terputus untuk sementara waktu.

Kata Ibnu Syihab, Abu Salamah bin Abdurrahman mengkhabarkan kepadanya bahawa Jabir bin Abdullah Al-Anshari menceritakan tentang terputusnya wahyu, katanya Rasulullah S.A.W berkata dalam hadisnya: “Pada suatu waktu, ketika aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba kedengaran olehku suatu suara dari langit.

Maka kuangkat pandanganku ke arah datangnya suara itu. Kelihatan olehku malaikat yang pernah datang kepadaku di Gua Hira dahulu. Dia duduk di kerusi antara langit dan bumi. Aku terperanjat kerananya dan terus pulang. Aku berkata kepada Khadijah, selimuti aku!” Lalu Allah S.W.T menurunkan ayat:


يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ

“Wahai orang yang berselimut!

قُمْ فَأَنذِرْ

Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia)

وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ

Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!

وَثِيَابَكَ فَطَهِّر

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan

وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ

Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi”

(QS. Al-Muddaththir [74]: 1-5)

 Maka semenjak itu, wahyu selalu turun berturut-turut. (Hadis 0003)


Iman

3. Dari Anas R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, "Tidak sempurna iman seseorang kamu sebelum ia menyukai untuk saudaranya (sesama Islam) apa yang disukainya untuk dirinya sendiri." (Hadis 0010)

4. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, "Tanda orang munafik ada tiga :

• Apabila berbicara ia dusta
• Apabila ia berjanji ia menyalahi janji
• Apabila dipercaya ia berkhianat." (Hadis 0027)

5. Dari Abdullah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, "Memaki orang muslim adalah derhaka (fasik) dan membunuhnya kafir." (Hadis 0040)

6. Dari Abu Mas’ud R.A: Nabi S.A.W bersabda,”Apabila seorang laki-laki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah.” [Hadis 0045]


Ilmu

7. Dari Abu Hurairah R.A: Pada suatu ketika Nabi S.A.W sedang berbicara dengan orang ramai (memberi ceramah atau pengajian), tiba-tiba datang seorang Arab Dusun menanyakan kepada beliau, ‘Bilakah datangnya saat (kiamat)?’

Nabi S.A.W tidak langsung menjawab, tetapi beliau meneruskan pembicaraannya dengan orang ramai. Kerana sikap Nabi S.A.W yang demikian itu, sementara orang mengatakan Nabi S.A.W mendengar pertanyaan itu, tetapi beliau tidak menyukainya dan setengah lagi mengatakan beliau tidak mendengarnya.

Setelah Nabi S.A.W selesai berbicara, beliau bertanya, “Di mana orang yang bertanya perkara saat (kiamat) tadi?”

Orang itu menyahut, “Saya! Ya Rasulullah!”

Rasulullah S.A.W bersabda, “Apabila amanah telah disia-siakan orang, maka waspadalah terhadap datangnya saat (kiamat).”

Tanya orang itu, “Bagaimanakah caranya disia-siakannya amanah?”

Jawab Nabi S.A.W, “Apabila suatu urusan (pekerjaan) diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka waspadalah terhadap datangnya saat (kiamat/kehancuran) [Hadis 0049]

Pengajaran Hadis:
(a). Menyerahkan sesuatu urusan atau pekerjaan kepada orang bukan ahlinya bermaksud menyerahkan sesuatu urusan atau pekerjaan kepada orang yang tidak mengerti, tidak cekap, tidak jujur lalu akibatnya adalah kehancuran atau kebinasaan.

(b). Mengajarkan kita tatatertib bertanya dalam majlis, iaitu jika bertanya janganlah memotong pembicaraan orang yang sedang berbicara, kerana ia dapat mengganggu pembicara dan pendengar. Tunggulah saat yang bersesuaian untuk bertanya.


8. Dari Humaid bin Abdurrahman R.A: Beliau mendengar Muawiyah berkhutbah, katanya Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa dikehendaki Allah akan beroleh kebaikan, diberi-Nya pengertian dalam hal agama. Saya (Nabi S.A.W) hanya membagi-bagikan, sedang yang memberi ialah Allah (1).

Selama (umat Islam) berdiri teguh di atas agama Allah, tidak satu pun penentang-penentang mereka yang sanggup membinasakan mereka sampai kiamat datang.” [Hadis 0058]

NOTA KAKI: (1)Maksud Nabi S.A.W membagi-bagikan adalah menyiarkan, menyampaikan ilmu; sedang yang memasukkan ilmu itu ke dalam hati manusia ialah Allah S.W.T.


9. Dari Abdullah bin Mas’ud R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Jangan merasa iri hati, kecuali kepada dua orang:

(a). Orang yang diberi Allah harta, kemudian dipergunakannya untuk yang hak, dan

(b). Orang yang diberi oleh Allah hikmah (ilmu yang hak), kemudian dipergunakannya (untuk yang hak) serta diajarkannya.” [Hadis 0059]


10. Dari Ibnu Abbas R.A: Rasulullah S.A.W merangkul saya (Ibnu Abbas) dan mendoakan, “Ya Allah, ajarkanlah kepadanya al-kitab (kitab Al-Quran).” [Hadis 0061]


12. Dari Abu Hurairah R.A: Ada orang bertanya kepada Nabi S.A.W, ‘Siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafaat (pertolongan) Anda (Nabi S.A.W) di hari kiamat?’

Jawab Nabi S.A.W, “Saya kira, hai Abu Hurairah, belum ada orang bertanya perkara ini kepadaku sebelum ini. Mungkin barangkali kerana saya lihat engkau sangat rakus (ingin mendapat sesuatu dengan banyak) mendapatkan hadis.

Orang yang paling beruntung mendapat pertolonganku pada hari kiamat, ialah orang yang mengucapkan ‘Laa ilaaha illallaah’, benar-benar ikhlas dari hati sanubari dan seluruh jiwanya.” [Hadis 0075]

Penjelasan Hadis: Mengucapkan kalimah ‘Laa ilaaha illallaah’ dengan ikhlas akan membuahkan keperibadian yang baik. Dari keperibadian yang baik timbul amal yang baik. Oleh sebab itu mereka akan memperoleh syafaat Nabi S.A.W di hari kiamat. Ikhlas beerti juga bebas dari syirik.


13. Dari Abdullah bin Amr bin Ash R.A: Nabi S.A.W bersabda, “Allah tidak menarik kembali ilmu pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati manusia, tetapi dengan jalan mematikan orang-orang berpengetahuan (ulama).

Apabila orang berpengetahuan telah punah (hilang/lenyap), maka masyarakat akan mengangkat orang-orang bodoh menjadi pemimpin yang akan dijadikan tempat bertanya. Orang-orang bodoh ini akan berfatwa tanpa ilmu; mereka sesat dan menyesatkan. [Hadis 0076]

Penjelasan Hadis: Kemajuan sesuatu umat bergantung kepada jumlah ulama dan orang terpelajarnya, kerana merekalah yang memimpin dan membimbing umat itu. Pemimpin yang bodoh akan memimpin umatnya (masyarakat) menuju kebinasaan.


14. Dari Abu Hurairah R.A: Nabi S.A.W bersabda, “Namailah dirimu dengan namaku (Muhammad) dan jangan memakai gelaranku.

Siapa yang bermimpi melihat aku dalam tidurnya, sebenarnya ia melihatku kerana syaitan tidak mampu menjelma seperti aku.

Dan siapa yang sengaja berdusta (membuat hadis palsu) atas namaku, maka biarlah dia menempati tempatnya di neraka.” [Hadis 0080]


Hari Raya

15. Dari Anas R.A: Biasanya Nabi S.A.W sebelum pergi solat aidilfitri, lebih dahulu beliau memakan buah kurma beberapa butir. [Hadis 0512]


16. Dari Ibnu Abbas R.A: Saya (Ibnu Abbas) pernah solat hari raya bersama Rasulullah S.A.W, Abu Bakar R.A, Umar R.A dan Utsman R.A. Mereka itu semuanya solat lebih dahulu sebelum berkhutbah. [Hadis 0516]


17. Dari Ibnu Abbas R.A: Nabi S.A.W bersolat ‘Idul Fitri dua rakaat. Beliau tidak solat sebelum dan sesudahnya.

Kemudian beliau pergi ke tempat para wanita bersama bilal. Beliau menyuruh mereka bersedekah. Maka mereka bersedekah; ada yang menyedekahkan anting-anting dan ada pula yang menyedekahkan kalungnya. [Hadis 0517]


18. Dari Ummu ‘Athiyah R.HA: Kami diperintahkan pergi solat ‘Id (solat Hari raya) bahkan anak-anak gadis keluar dari pingitannya (dalam jagaan).

Begitu juga wanita-wanita yang sedang haid, tetapi mereka ini hanya berdiri saja di belakang orang ramai, turut bertakbir dan berdoa bersama-sama. Mereka mengharapkan beroleh berkat dan kesucian pada hari itu. [Hadis 0520]

19. Dari Jundab R.A: Nabi S.A.W mula-mula melakukan solat (bersolat terlebih dahulu) ‘Idul Adha, kemudian beliau berkhutbah dan sesudah itu beliau menyembelih korban.

Nabi S.A.W bersabda, “Siapa yang menyembelih korban sebelum solat, hendaklah menyembelih lagi yang lain (sesudah solat) sebagai gantinya. Siapa yang belum menyembelih, hendaklah menyembelih dengan nama Allah.” [0524]


20. Dari Jabir R.A : Biasanya pada hari raya, Nabi S.A.W menempuh (melalui) jalan pulang, lain daripada jalan yang telah ditempuh (dilalui) beliau untuk pergi. [0525]


Solat Tahajjud

21. Dari Ibnu Abbas R.A: Apabila Rasulullah S.A.W bangun tengah malam hendak solat tahajjud, Nabi S.A.W membaca:

(Wahai Allah.. Untuk Mu lah segala puji. Engkau penanggung langit dan bumi beserta isinya. Untuk Mu lah segala puji. Penguasa langit dan bumi dan segala isinya. Untuk Mu lah segala puji; Cahaya langit dan bumi.

Untuk Mu lah segala puji. Engkau Maha Benar, janji-Mu Maha Benar, menemui Engkau (di akhirat) Maha Benar, syurga Maha Benar, neraka Maha Benar, para Nabi Maha Benar dan Muhammad sollallaahu ‘alaihi wassalam Maha Benar dan hari kiamat Maha Benar.

Wahai Allah.. Saya pasrah kepada-Mu dan dengan Engkau aku beriman, kepada Engkau aku menyerah dan kepada Engkau aku kembali; dan kerana (mempertahankan agama) Engkau aku bermusuhan dan kepada Engkau aku meminta hukum.

Kerana itu ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terakhir, ampunilah apa yang ku rahsiakan mahupun yang ku nyatakan. Engkaulah yang mendahulukan dan yang mengemudiankan, tidak ada tuhan melainkan hanya Engkau dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan di tangan Engkau). [0581]

22. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Waktu seseorang sedang tidur, syaitan membuat tiga buah simpul di kepalanya. Untuk setiap simpul ia (syaitan) mengatakan, ‘Tidurlah engkau sepanjang malam’.

Ketika terbangun, lalu dia (orang yang tidur) menyebut nama Allah, maka lepaslah satu simpul. Jika berwudhu’, lepas pulalah satu simpul. Dan jika dia solat terbukalah seluruh simpul.

Maka waktu bangun pagi ia akan merasa penuh semangat dengan badan yang segar bugar. Jika tidak, dia akan bangun pagi dengan perasaan serba tak enak dan malas.” [0599]

23. Dari Samurah R.A: Diceritakannya dari Nabi S.A.W perihal mimpi. Nabi S.A.W bersabda, “Barangsiapa bermimpi seolah-olah kepalanya dipukul orang dengan batu, ertinya orang itu mempelajari Al-Quran tetapi tidak diamalkannya dan solat wajib ditinggalkannya.” [0600]

24. Diberitakan oleh Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Allah tabaaraka wa ta’aala (Allah yang Maha Suci lagi Tinggi) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam.

Dia (Allah) berfirman: ‘Barangsiapa berdoa kepada-Ku akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Ku beri dia. Siapa yang minta ampun, akan Ku ampuni dia.” [0602]

Notakaki: Turunnya Allah ke langit dunia – Hendaklah kita biarkan seperti mana adanya, iaitu tanpa:

 (1). Takyif (mempersoalkan kaifiatnya/hakikatnya)

 (2). Tasybih (penyerupaan)

 (3). Ta’thil (penolakan)

Wajar saya tambahkan kata-kata Na’im bin Hammad al-Khuza’i (guru Imam al-Bukhari). Beliau mengatakan, ‘Barangsiapa menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, maka ia kafir. Dan barangsiapa mengingkari sifat yang telah Allah berikan untuk diri-Nya sendiri, bererti ia juga telah kafir.”

Barangsiapa yang menetapkan bagi Allah Ta’ala setiap apa yang disebutkan oleh Al-Quran yang jelas dan hadis-hadis sahih dengan pengertian yang sesuai dengan kebesaran Allah, serta menafikan kekurangan-Nya, bererti ia telah menempuh jalan petunjuk. (RUJUKAN : Tafsir Ibn Katsir – Tafsir Surah Al-A’raaf [7] : Ayat 54 pada muka surat : 392)

Solat Istikharah

25. Dari Jabir bin Abdullah R.A: Rasulullah S.A.W mengajarkan kepada kami solat istikharah untuk segala urusan, seperti dia mengajarkan kepada kami surah Al-Quran.

Sabda Beliau (Nabi S.A.W), “Apabila seseorang kamu hendak melakukan sesuatu pekerjaan, lebih dahulu hendaklah solat dua rakaat yang bukan fardhu (solat sunat), kemudian membaca doa:

Terjemahan : Wahai Allah, Sesungguhnya aku mohon pilihan kepada Engkau dengan ilmu Engkau, dan mohon kuasa kepada Engkau dengan kekuasaan Engkau, dan aku meminta kepada Engkau kurnia-Mu yang Maha Agung. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa, sedangkan aku tidak (ber)kuasa. Dan Engkau Maha Tahu, sedangkan aku tidak tahu. Dan Engkau Maha Tahu segala yang ghaib.

Wahai Allah. Jika menurut pengetahuan-Mu pekerjaan ini baik bagi agamaku, bagi kehidupanku dan akibat kesudahannya, maka berilah aku kesanggupan untuk melaksanakannya serta mudahkanlah ia bagiku, kemudian berikan berkat bagiku padanya.

Dan jika menurut pengetahuan-Mu pekerjaan ini tidak baik bagi agama, kehidupan serta akhir kesudahannya, maka singkirkanlah ia dariku dan jauhkanlah aku daripadanya serta tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya, kemudian redhailah dia bagiku.” [0612]

Solat Tahayatul Masjid

26. Dari Abu Qatadah bin Rib’i Al- Anshari R.A: Nabi S.A.W bersabda, “Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid, janganlah duduk lebih dahulu sebelum solat dua rakaat.” [0613]

27. Dari Jabir R.A: Rasulullah S.A.W bersabda ketika Beliau sedang berkhutbah, katanya “Apabila seseorang kamu masuk masjid dan imam sedang berkhutbah, atau dia telah datang untuk itu, solatlah kamu lebih dahulu dua rakaat (sebelum duduk).” [0615]

Solat Dhuha

28. Dari Abu Hurairah R.A: Nabi S.A.W berpesan kepadaku supaya aku melakukan solat dhuha dua rakaat. [0616]

29. Dari ‘Aisyah R.HA: Tidak ada solat Nawafil (sunat) yang lebih diutamakan oleh Nabi S.A.W dari solat sunat lainnya selain daripada dua rakaat sunat fajar. [0617]

30. Dari ‘Aisyah R.HA: Rasulullah S.A.W melakukan dua rakaat solat sunat sebelum subuh dengan cara yang ringan, sehingga aku tertanya-tanya dalam hatiku adakah Nabi S.A.W membaca Al-Fatihah (atau tidak). [0618]

Madinah

31. Dari Anas R.A: Nabi S.A.W bersabda, “Kota Madinah haram (kota suci) dari batas situ ke situ. Pohonnya tidak boleh ditebang dan tidak boleh melakukan kejahatan di dalamnya. Barangsiapa melakukan kejahatan, ia akan mendapat kutuk(an) Allah, kutuk malaikat dan manusia seluruhnya.” [0908]

32. Dari Abu Bakrah R.A: Nabi S.A.W bersabda, “Tidak akan dapat masuk ke Madinah, Al-Masih Ad-Dajjal yang ditakuti. Madinah ketika itu mempunyai tujuh buah pintu. Pada tiap-tiap pintu terdapat dua orang malaikat.” [0919]

33. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Di jalan-jalan masuk ke Madinah ada malaikat. Kerana itu tidak dapat masuk ke dalamnya penyakit taun (penyakit berjangkit) dan tidak pula Dajjal. [0920]

34. Dari Anas bin Malik R.A: Nabi S.A.W bersabda, “Semua negeri akan diinjak oleh Dajjal, melainkan Mekah dan Madinah. Di mana setiap jalan masuk ke dalam kedua kota itu dijaga oleh malaikat dengan berbaris. Kemudian Madinah goncang (dengan) tiga kali goncangan, maka ketika itu Allah S.W.T mengeluarkan semua orang kafir dan munafik.” [0921]

35. Dari Anas R.A: Nabi S.A.W bersabda, “Wahai Allah, Turunkanlah berkah berganda di Madinah, sebagaimana yang telah Engkau turunkan di Mekah.” [0925]

Puasa

36. Dari Umar R.A, katanya: Siapakah yang hafal sebuah hadis dari Nabi S.A.W berkenaan dengan fitnah?

Jawab Hudzaifah: Aku mendengar Nabi S.A.W bersabda, “Fitnah seseorang dalam keluarganya, dalam hartanya dan tetangganya dapat ditutup (dihapuskan) oleh solat, puasa dan sedekah.” [0929]

37. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa menafkahkan dua perkara pada jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari beberapa pintu syurga. Wahai hamba Allah! Inilah kebaikan!

Maka siapa yang mengerjakan solat ia akan dipanggil dari pintu solat; siapa yang ikut berperang ia akan dipanggil dari pintu jihad; siapa yang puasa ia akan dipanggil dari pintu Rayyaan; dan siapa yang bersedekah ia akan dipanggil dari pintu sedekah.”

Kata Abu Bakar R.A, ‘Aku tebus engkau dengan bapa dan ibuku, hai Rasulullah. Tiadalah suatu kesukaran bagi orang-orang yang dipanggil dari pintu-pintu itu, dan adakah seseorang dipanggil dari pintu-pintu itu semuanya?’

Jawab Nabi S.A.W, “Ya, dan aku mengharapkan supaya engkau termasuk dalam golongan mereka itu.” [0931]

38. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan semua pintu syurga.” [0932]

39. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Apabila tiba bulan Ramadhan; dibukakan pintu langit, dikunci pintu neraka dan dibelenggu syaitan.” [0933]

Jual Beli

40. Dari Nu’man bin Basyir R.A: Nabi S.A.W bersabda, “Yang halal sudah nyata, yang haram sudah nyata dan antara keduanya beberapa perkara yang meragukan. Barangsiapa meninggalkan apa yang diragukan tentang dosanya, biasanya orang itu meninggalkan pula apa yang sudah nyata berdosa.

Dan siapa yang berani melakukan apa yang masih diragukan tentang dosanya, dikhuatirkan ia jatuh pada perkara yang nyata dosanya.

Segala macam maksiat adalah larangan Allah. Barangsiapa bermain-main sekitar larangan Allah, dikhuatirkan ia akan jatuh ke dalamnya.” [1006]

41. Dari ‘Aisyah R.A: Bahawasanya orang banyak bertanya kepada Rasulullah S.A.W, katanya, ‘Ya Rasulullah, suatu kaum memberi kami daging yang kami tidak tahu apakah mereka menyebut nama Allah (waktu menyembelih) atau tidak.’ Jawab Rasulullah S.A.W, “Sebutlah nama Allah dan makanlah.” [1011]

42. Dari Abu Hurairah R.A: Nabi S.A.W bersabda, “Bakal datang di suatu masa di mana orang tiada (ambil) peduli akan apa yang diambilnya; apakah dari yang halal ataukah dari yang haram.” [1012]

43. Dari Anas bin Malik R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa ingin supaya dipermudahkan (oleh Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahmi (hubungan kasih sayang).” [1016]

44. Dari Miqdam R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Tidak ada makanan yang dimakan seseorang, sekali-kali tidak (ada) yang lebih baik daripada memakan makanan hasil usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Dawud A.S makan dari hasil usaha tangan beliau sendiri.” [1019]

45. Dari Jabir bin Abdullah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Allah mengasihi orang yang murah hati ketika menjual, ketika membeli dan ketika menagih (hutang).” [1020]

46. Dari ‘Aisyah R.A, katanya: Ketika akhir surah Al-Baqarah diturunkan, Nabi S.A.W membacakannya kepada orang banyak di masjid, kemudian beliau mengharamkan perdagangan khamar (arak atau minuman yang memabukkan). [1026]

47. Dari ‘Aun bin Abu Juhaifah R.A, katanya: Saya melihat bapa saya membeli seorang hamba sahaya yang pandai membekam (ketika perhambaan masih dibolehkan), lalu saya bertanya kepada bapa.

Jawab beliau, “Nabi S.A.W hanya melarang jual-beli anjing dan jual-beli darah; kemudian beliau melarang pula mencacah dan dicacah (mentatoo dan pembuat tattoo), memakan riba dan memberi orang supaya memakannya; dan beliau (Nabi S.A.W) mengutuk orang yang membuat patung. [1027]

48. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Sumpah itu melariskan dagangan, tetapi menghapus keberkatan.” [1028]

49. Dari Abu Musa R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Perumpamaan duduk dengan orang baik-baik dibandingkan dengan duduk berserta orang jahat, seumpama pemilik kasturi dengan dapur tukang besi.

(Ertinya), engkau tidak akan lepas dari (bau) pemilik kasturi itu. Adakalanya engkau membeli kasturi itu atau sekurang-kurangnya mencium-cium baunya. Sedangkan dapur tukang besi membakar tubuh mu atau sekurang-kurangnya engkau mencium bau busuk.” [1033]

50. Dari ‘Aisyah R.A: ‘Aisyah, Ummul Mukminin R.A menceritakan bahawa dia membeli sebuah bantal kecil yang bergambar-gambar. Ketika Rasulullah S.A.W melihat bantal itu, beliau berdiri sahaja di pintu tidak jadi masuk. Kemudian ku lihat di wajah beliau bahawa beliau benci.
Lalu kata ku, “Ya Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kiranya kesalahan ku?”

Jawab Rasulullah S.A.W, “Apakah perlunya bantal itu?” Jawab ku, “Saya beli untuk Tuan, untuk tempat duduk Tuan dan untuk sandaran Tuan.”

Sabda Nabi S.A.W, “Sesungguhnya pemilik gambar-gambar seperti itu bakal disiksa pada hari kiamat. Dikatakan kepada mereka, ‘Hidupkanlah apa yang kamu buat’. ”Selanjutnya Nabi S.A.W bersabda, “Sesungguhnya rumah yang di dalamnya terdapat gambar-gambar, tidak dimasuki malaikat.” [1037]

51. Dari Abu Sa’id R.A, menceritakan: Rasulullah S.A.W melarang Munabazah. Iaitu, melemparkan kainnya kepada yang lain dalam jual beli, sebelum dibalik-balik atau dilihatnya kain itu dan beliau melarang Mulamasah, iaitu menyentuh kain yang tidak dilihat. [1061]

Penjelasan:
Munabazah: Seseorang yang menjual sesuatu barang kepada pembeli sebelum pembeli tersebut melihat-lihat barang tersebut.

Mulamasah: Memegang sesuatu barang yang hendak dibeli tanpa melihatnya. (Apabila menyentuh sesuatu barang, maka dikira atau dipaksa membelinya).

52. Dari Anas bin Malik R.A, katanya: Rasulullah S.A.W melarang melakukan jual beli Muhaqalah, Mukhadharah, Mulamasah, Munabazah dan Muzabanah.” [1085]

Penjelasan:
a. Muhaqalah (sewa menyewa tanah dengan bagi hasil).

b. Mukhadarah (menjual buah-buahan di pokok yang belum pasti baik atau tidak, termasuk ‘Zuru’, iaitu padi, jagung, gandum dan sebagainya).

c. Mulamasah (Memegang sesuatu barang yang hendak dibeli tanpa melihatnya).

d. Munabazah (Seseorang yang menjual sesuatu barang kepada pembeli sebelum pembeli tersebut melihat-lihat barang tersebut).

e. Muzabanah (Menjual buah yang basah dengan buah yang kering atau menjual padi kering dengan padi yang basah atau apa-apa yang penipuan dalam penjualan. Contoh zaman ini, menipu menjual surat khabar lama dengan dibasahkan separuh atau menjual tin aluminium dengan meletakkan batu atau pasir supaya menjadi lebih berat).

53. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Demi Allah yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Sesungguhnya akan turun kepada mu Ibnu Maryam (Nabi Isa A.S) menjadi halim yang adil. Maka dipecahnya salib, dibunuhnya babi, dihapuskannya pajak dan harta kekayaan akan melimpah ruah sehingga tidak seorang pun yang mahu menerima.” [1090]

54. Dari Jabir bin Abdullah R.A, katanya: Ia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda di Mekah pada tahun penaklukan Mekah, sabdanya: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya mengharamkan menjual minuman yang memabukkan, bangkai, babi dan berhala.”

Lalu ditanyakan orang kepada beliau, ‘Ya Rasulullah, bagaimanakah tentang lemak bangkai? Lemak itu gunanya untuk melumuri perahu, untuk meminyaki kulit dan dijadikan lampu oleh orang banyak.

Jawab Nabi S.A.W, “Tidak boleh, itu haram.”

Kemudian beliau (S.A.W) menambahkan, “Dikutuk Allah kiranya orang Yahudi. Setelah Allah mengharamkan lemaknya, mereka hancurkan kemudian mereka jual dan setelah itu mereka makan wang harganya.” [1096]

55. Dari Abu Mas’ud Al-Anshari, katanya: Rasulullah S.A.W melarang tentang harga (jual beli) anjing, membayar mahar penzina dan membayar tukang tenung (peramal). [1097]

Tambahan: Termasuk larangan membayar tukang tenung zaman ini adalah mesin-mesin melihat peramal takdir seperti yang ada di pasaraya-pasaraya.

Ijarah (mengupah, menerima upah, menyewa atau mempersewakan)
56. Dari Abu Hurairah R.A : Nabi S.A.W bersabda, “Allah tidak mengutus seorang Nabi melainkan orang itu gembala kambing. Para sahabat bertanya, ‘Dan anda sendiri bagaimana?’
Jawab Nabi S.A.W, “Ya, aku pernah gembala kambing orang Mekah dengan (upah) beberapa qirath (nama mata wang lama). [1105]

Hawalah (memindahkah hak pembayaran hutang)
Contoh Hawalah: A berhutang pada B dan B berhutang pada C. Dengan persetujuan ketiga-tiganya, A terus membayar hutangnya kepada C.

57. Dari Abu Hurairah: Rasulullah S.A.W bersabda, “Orang kaya (berkemampuan) yang melambat-lambatkan (membayar hutang, zakat harta dan lain-lain kewajipan yang perlu dibayarnya) adalah zalim. Apabila seorang di antara mu dipindahkan hutang piutangnya kepada orang yang berpunya (kaya) hendaklah diturutinya (ditagih).” [1111]

Pertanian

58. Dari Anas R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Seorang Muslim yang menanam pohon atau tanam-tanaman, lalu sebahagian hasilnya dimakan burung, manusia atau binatang maka orang yang menanam itu mendapat pahala.” [1126]

59. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Siapa yang memelihara anjing; selain anjing penjaga perkebunan atau penjaga ternak maka pahala amal orang itu berkurang setiap harinya satu ‘qirath’ (ukuran timbangan yang bermaksud sebahagian).

Dalam sebuah riwayat lain: “Selain anjing penjaga kambing, perkebunan atau untuk berburu.” [1128]

60. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Siapa yang mempunyai tanah, hendaklah tanah itu ditanaminya atau berikan kepada saudaranya. Seandainya ia tidak suka memberikannya kepada orang lain, maka hendaklah tanah itu tetap dimilikinya.” [1138]

Minuman

61. Dari Sahl Bin Sa’ad, katanya: Sebuah gelas dihidangkan kepada Rasulullah S.A.W dan beliau minum dari situ. Di sebelah kanan beliau ada seorang anak kecil dan di sebelah kiri beliau ada seorang tua.

Beliau bersabda, “Hai anak kecil, relakah engkau kalau sisa saya ini saya berikan kepada orang tua ini?”

Anak itu menjawab, ‘Wahai Rasulullah, sayalah yang paling berhak mendapat sisa anda.’ Lalu Rasulullah S.A.W memberikan kepadanya. [1140]

Pengajaran hadis:
(a). Hadis menunjukkan bahawa ajaran Islam; iaitu memberikan sesuatu kepada orang lain harus dimulakan dari sebelah kanan.
(b). Menghormati orang tua.
(c). Menjaga perasaan, walaupun seorang anak kecil.

62. Dari Abu Hurairah R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Ada tiga golongan manusia yang tidak akan dilihat dan tidak akan disucikan Tuhan pada hari kiamat dan mereka itu akan memperoleh siksa yang hebat.

Pertama, orang yang mempunyai kelebihan air tetapi tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan dalam perjalanan.

Kedua, orang yang berjanji setia kepada Imam (Pemimpin/Penguasa), tetapi hal itu dilakukannya hanya kerana kepentingan dunia. Kalau Imam memberikan keuntungan dunia kepadanya, ia gembira. Tetapi jika tidak, ia menjadi marah.

Ketiga, orang yang berjualan setelah Asar, lalu berkata; ‘Demi Allah tiada tuhan selain-Nya. Barang-barang saya ini telah ditawar orang sekian.’ (Maksudnya: Membuat sumpah palsu) Lalu kata-katanya itu dipercaya orang lain.

Lalu Beliau (Nabi S.A.W) membaca ayat yang bererti;

(QS. Ali 'Imran [3] : 77)
77. “Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan mensucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih.” [1143]

Bertengkar

63. Dari Abu Said Al-Khudri R.A, katanya: Pada suatu waktu, ketika Rasulullah S.A.W sedang duduk-duduk, datanglah seorang Yahudi berkata, ‘Hai Abu Qasim! Seseorang sahabat dari Tuan telah menampar muka saya.’ “Siapa?”, tanya Beliau (S.A.W). Orang Yahudi itu menjawab, ‘Seorang Ansar.’ Kata Beliau (S.A.W), “Panggillah orang itu!”
Lalu Beliau (S.A.W) bertanya, “Engkaukah tampar dia?”

Orang itu menjawab, ‘Saya dengar ia (Yahudi itu) bersumpah di pasar dengan berkata, ‘Demi tuhan yang telah memilih Musa lebih dari segala manusia.’ Saya berkata, ‘Kamu telah berbuat jahat terhadap Rasulullah S.A.W.’ Saya marah, lalu menampar mukanya.

Nabi S.A.W berkata, “Janganlah kamu melebihkan seseorang dari pada Nabi. Pada hari kiamat seluruh manusia pengsan. Saya adalah orang yang pertama-tama sedar kembali. Tiba-tiba saya jumpai Musa berpegang pada salah satu tiang Arasy.
Saya tidak tahu apakah ia turut pengsan atau sudah tidak pengsan lagi (Maksudnya : dikecualikan dari pengsan).” [1161]

Penganiayaan dan Perampasan

64. Dari Abu Said Al-Khudri R.A: Rasulullah S.A.W bersabda, “Kalau orang yang beriman itu telah bebas dari neraka, mereka ditahan pada jambatan antara syurga dan neraka, lalu orang saling membalas penganiayaan antara sesama mereka waktu di dunia.

Setelah mereka dibersihkan dan disucikan, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Allah yang diri Muhammad di tangan-Nya, orang lebih tahu tempatnya di syurga daripada (berbanding) tempatnya di dunia.” [1167]


Berikut antara "Koleksi Hadis Sahih Bukhari Bahasa Melayu". Semoga bermanfaat dan mari beramai-ramai kita share supaya mendapat pahala berbagi ilmu yang bermanfaat. Sekian terima kasih.