Allah telah mengzahirkan kita semua di dunia ini sebagai hamba, tugas utama sebagai seorang hamba adalah wajib patuh, hormat, ingat dan bersyukur kepada Raja iaitu Allah S.W.T. Sebagai makhluk yang memegang watak sebagai hamba, hendaklah kita sentiasa merendahkan diri dan selalu ikhlas melakukan perintah dan sentiasa mengutamakan sifat syukur kepada Allah S.W.T. Ambillah pengajaran dari kisah-kisah umat atau jenerasi terdahulu supaya jenerasi kita pada hari ini tidak mengulang perbuatan tidak bersyukur kepada Allah sehingga boleh mengakibatkan kemurkaan Allah.

Firman Allah S.W.T Maksudnya: Tidakkah mereka memerhatikan dan memikirkan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, pada hal Kami telah teguhkan kedudukan mereka di bumi yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan ke atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain. (QS. Al-An’am 6: 6)

INTISARI AYAT – Kaum Musyrikin Mekah menolak kebenaran Islam. Lalu Allah mengingatkan mereka supaya mengambil iktibar daripada kisah kaum terdahulu yang menikmati pelbagai nikmat Tuhan tetapi tidak bersyukur, akhirnya mereka dibinasakan dan diganti dengan kaum yang lain. Ayat ini juga boleh kita jadikan ikhtibar kepada diri kita supaya sentiasa melahirkan rasa syukur kepada Allah S.W.T.

Kaum Yang Dibinasakan Kerana Tidak Bersyukur Kepada Allah

Kaum ‘Ad.
- Diberi nikmat tanah dan hasil tanaman yang baik tetapi menolak ajaran yang disampaikan oleh Nabi Hud a.s dan mereka berlaku kufur.
- Lalu mereka dibinasakan oleh putting beliung yang memusnahkan harta dan diri.

Kaum Thamud.
- Diberi kekayaan tetapi mereka angkuh dan menuduh Nabi Saleh a.s seorang pendusta.
- Lalu mereka dibinasakan dengan halilintar dan gempa bumi yang dasyat.

Kaum Lut.
- Mereka diberi kemewahan, tetapi masih menolak ajaran yang dibawa Nabi Lut a.s dan kaum Lut sentiasa melakukan hubungan sejenis (liwat).
- Lalu dibinasakan dengan menterbalikkan negeri mereka.

Bersyukurlah Dengan Segala Nikmat Allah.

Firman Allah S.W.T:- Maksudnya: Dan dia telah memberikan kepada mu segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sesungguhnya, manusia itu sangat zalim dan dan sangat menginkari (nikmat Allah). (QS. Ibrahim 14: 34)

Terlalu banyak nikmat yang telah Allah kurniakan kepada makhluk-Nya sehingga kita sendiri tidak mampu menghitung nikmat yang ada pada diri kita. Ingatlah, bukan nikmat yang ada pada diri kita sahaja yang perlu disyukuri, malah nikmat pada alam ini juga wajib disyukuri antaranya kemakmuran, kemerdekaan, keamanan dan keselamatan.

Cara Bersyukur Kepada Allah.

- HATI – Sentiasa mengingati Allah S.W.T yang memberi nikmat.
- LIDAH – Ucapkan ayat-ayat syukur seperti ALHAMDULILLAH ketika mendapat nikmat.
- ANGGOTA BADAN – Gunakan segala nikmat untuk kebaikan dan jauhi maksiat.

Kesimpulannya, sebagai seorang hamba yang patuh dan hormat kepada Raja, semestinya wajib MENGUTAMAKAN sifat berterima kasih kepada Raja segala Raja iaitu Allah S.W.T serta ikhlas melaksanakan kebaikan tanpa mengharapkan sesuatu walaupun ucapan terima kasih.

Ketahuilah, pangkat dan kekayaan tidak dapat menghalang Allah daripada menurunkan azab. Seluruh umat hendaklah mengurus dan mentadbir alam ini dengan sebaik-baiknya dengan berpandukan syariat Allah S.W.T. Sentiasa mengutamakan amalan bersyukur kepada Allah S.W.T dan semoga kehidupan sentiasa diberkati-Nya. Semoga Bermanfaat.

Wallahu A’lam Bish Shawab.