Kisah Dongeng Tauladan.
Ada sebuah kisah yang membawa tauladan kepada umat
manusia supaya menjaga dan menghormati
masyaratkat jiran tetangga dan jangan
sesekali memutuskan tali silaturrahim atau tali persaudaraan agar kehidupan
sentiasa ceria dan selamat. Ambil dan kutip segala ikhtibar yang tersurat
dalam kisah ini walaupun kisah ini hanya cerita dongeng yang direka
semata-mata, dan ingatlah sesungguhnya segala
yang terjadi di seluruh alam ini adalah bersifat berguna dan tidak sia-sia,
maka ambil dan guna segala ikhtibar atau hikmah di mana-mana sekalipun walaupun
perkara itu suatu perkara yang buruk dipandang mata.
Maka, mari ikuti sebuah kisah seekor tikus yang meminta
tolong kepada jiran tetangga untuk menyelesaikan masalah yang menimpa si tikus.
Ada sebuah perkampungan, terdapat sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah
rumah, mereka berdua mempunyai seekor ayam, kambing dan lembu. Di samping itu,
terdapat juga tikus yang bersarang di rumah itu dan menjadikan rumah itu sebagai
sumber mendapatkan makanan.
Pada suatu malam, Si tikus keluar dari sarang untuk
mencari makanan, dalam masa mencari makanan, si tikus ternampak perangkap tikus
yang diletak oleh isteri tuan rumah, si tikus berasa takut dan dia pergi
bertemu jiran iaitu si ayam untuk meminta pertolongan. Si tikus bertemu si ayam
dan menceritakan hal yang merisaukannya serta merayu kepada si ayam supaya
memberi bantuan. Tetapi si ayam tidak mengendahkan kerisauan si tikus dan si
ayam dengan sombong berkata kepada si tikus "itu bukan masalah aku, pergilah kamu selesaikan masalah kamu
sendiri." Si tikus pun berasa sedih dan beredar dari situ dan cuba
mencari pertolongan kepada jiran yang lain.
Si tikus pergi berjumpa si kambing pula untuk meminta
tolong, si tikus memberitahu kepada si kambing bahawa isteri tuan rumah telah
memasang perangkap yang boleh mematikan si tikus. Selepas si kambing mendengar
perkhabaran si tikus, si kambing dengan bongkaknya enggan dan malas untuk
membantu lalu menghalau si tikus sambil mengungkapkan kata-kata "itu bukan masalah aku".
Kemudian si tikus beredar dari situ sambil memikirkan bahaya yang bakal berlaku
kepadanya jika tidak meminta bantuan daripada jiran-jiran.
Selepas itu, si tikus cuba lagi mencari jalan lain supaya
masalahnya selesai dengan pergi kepada jiran lain iaitu si lembu, si tikus
merayu kepada si lembu supaya membantu untuk menyelesaikan masalah yang
dihadapi. Tetapi malangnya si lembu juga enggan membantu dan menghemburkan
kata-kata yang sama seperti si ayam dan si kambing "itu bukan masalah aku." Lalu, si tikus pun berasa sedih
dan terkilan dengan semua sikap jiran-jiran kerana tidak ada seekor pun yang
mahu menolong, si tikus pulang dan membuat keputusan untuk bersembunyi dalam
sarang dan tidak mahu keluar lagi kerana takut terkena perangkap yang dibuat
oleh isteri tuan rumah.
Selepas itu, pada malam hari tuan rumah sedang tidur,
tiba-tiba sepasang suami isteri itu terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi yang
bising di ruang dapur. Kedua suami isteri itu pun bergegas ke dapur untuk melihat
apa yang terjadi. Selepas itu, ternyata penyebab bunyi bising itu adalah kerana
seekor ular yang tersekat pada perangkap tikus. Tuan rumah berasa terkejut dan
cuba mengambil ular tersebut untuk dilepaskan dari perangkap tikus tersebut.
Dalam usaha sepasang suami isteri itu untuk melepaskan ular yang tersekat itu
menyebabkan si ular berasa takut dan teramcam yang mengakibatkan si ular
mematuk isteri tuan rumah. Si isteri pun jatuh sakit disebabkan oleh patukan
ular yang berbisa itu.
Bermula dari hari kejadian itu, si isteri sudah tidak
bermaya lagi dan tidak mampu untuk berjalan dan hanya berbaring di atas katil
kerana kesakitan. Si suami berasa sangat bimbang sekali dan berusaha untuk
mencari penawar bagi menyembuhkan penyakit isteri nya, sudah terlalu banyak
perkara dan kaedah telah diusahakan oleh si suami, tetapi semuanya tidak
memberi kesan atau tanda-tanda yang isteri nya akan sembuh.
Kemudian, ada seorang warga kampung datang melawat mereka
dan memberitahu kepada si suami agar memberi sup ayam kepada isteri untuk
dijadikan sebagai penawar, si suami pun mengambil ayam yang ia bela iaitu si
ayam yang enggan menolong si tikus tadi, Si suami menyembelih si ayam dan
memasak sup untuk si isteri. Namun, sup ayam tadi juga tidak memberi kesan yang
baik kepada si isteri.
Seterusnya, warga kampung yang lain pula datang melawat
mereka berdua dan menyatakan kepada si suami supaya memasak sup kambing untuk
dijadikan penawar kepada si isteri, si suami tanpa berfikir panjang terus
mengambil si kambing jagaannya dan menyembelih si kambing untuk dijadikan sup
bagi memastikan si isteri sihat. Tetapi malang, si isteri tidak menunjukkan
tanda-tanda untuk sihat malah penyakit itu semakin parah. Tidak lama kemudian,
si isteri meninggal dunia. Si suami berasa sangat sedih atas kehilangan
isterinya. Pada keesokan hari, si suami menjemput warga kampung ke rumah untuk
membuat majlis tahlil, hari itu si tuan rumah menyembelih si lembu untuk
dijadikan hidangan untuk menjamu tetamu yang hadir ke rumahnya.
Kesimpulannya,si ayam, si kambing dan si lembu semuanya
mati disebabkan keengganan dan kesombongan mereka untuk membantu si tikus. Pada
asalnya, mereka tidak mahu membantu si tikus kerana mereka fikir bahawa perkara
itu bukanlah masalah mereka, tetapi akhirnya masalah itu tertimpa kepada mereka
juga. Oleh itu, ikhtibar untuk kita ambil dalam coretan ini adalah kita
mestilah membantu makhluk yang memerlukan bantuan kita walau dengan apa bentuk
bantuan sekali pun. Sentiasa menjadi seorang yang prihatin dalam masyarakat
kejiranan supaya dapat mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dan makmur.
Begitulah kisah seekor tikus meminta tolong jiran tetangga, semoga bermanfaat.
Sekian.
Wallahu
A’lam Bish Shawab.
0 Comments