Tertulis dalam lembaran sejarah bahawa Tamadun Saba’ adalah sebuah tamadun yang cemerlang dan mempunyai pencapaian yang tinggi. Tamadun Saba’ lahir di satu lembah di Yaman. Saba’ nama seorang lelaki yang mempunyai 10 orang anak. Enam orang tinggal di Yaman iaitu Mudzha, Kindah, Azad, Asy’ari, Anmaar dan Himyar. Empat yang lain tinggal di Syam iaitu Lukham, Jazzaam, Ghassan dan ‘Amilah. Saba’ juga merupakan nama nenek moyang Arab Selatan iaitu Arab al’ Aribat dan keturunan Qahtan. Saba’ juga merupakan tempat asal nenek moyang mereka dan nama kerajaan serta tamadun yang mereka tubuhkan. Ia juga dikenali dengan nama lain iaitu Tabba’ atau Tababi’ah. Raja mereka juga dikenali dengan nama Raja Tababi’ah termasuk Ratu Balqis di bawah kekuasaan Nabi Sulaiman a.s. Penduduk Negeri Saba’ adalah umat Nabi Daud a.s.

Saba’ merupakan sebuah lembah yang subur, permai dan makmur. Ia melahirkan sebuah tamadun yang tinggi dan seni binanya begitu cemerlang sebagai tanda Kehebatan dan Kebijakan Allah S.W.T. Ia juga mempunyai dua kebun atau kota raya besar antara dua buah gunung. Di situlah seni bina mereka diperagakan kecemerlangan dengan pembinaan satu empangan yang besar.

Empangan itu menjadi faktor utama kemakmuran dan ketinggian tamadun Saba’. Ia menghasilkan pertanian yang lumayan di lereng-lereng gunung. Qatadah meriwayatkan bahawa buah-buah kebunnya begitu banyak dan ranum. Tuan-tuan besar kebun itu memetik buah-buah dengan memenuhi bakul-bakul besar sehingga melimpah jatuh di sepanjang perjalanan pulang mereka dari kebun yang tidak dipedulikan orang.

Pada peringkat awal penduduknya begitu berpegang teguh kepada akidah iaitu keimanan kepada Allah S.W.T. Mereka banyak beribadat dan beramal salih. Mereka begitu bersyukur dengan nikmat Allah S.W.T serta berdedikasi memakmurkan negeri mereka sehingga menjadi makmur, aman dan bahagia. Hasil padi, gandum dan buah-buahan serta sayur-sayuran melimpah ruah. Namun demikian mereka tetap terus mengingati dan mentaqarrubkan diri kepada Allah S.W.T.

Kemewahan hidup yang luar biasa itu akhirnya berjaya merosakkan keimanan, ketakwaan dan amal salih mereka. Sejak itu mereka mula engkar dan lupa kepada ajaran yang disampaikan oleh Nabi Daud a.s. Mereka tidak lagi bersyukur kepada Allah S.W.T, tidak lagi beribadat dan beramal salih. Sebab itulah Allah S.W.T telah mendatangkan bencana kepada mereka dengan menjadikan tikus-tikus yang menebuk lubang pada empangan Ma’rib yang mereka bina itu. Kemewahan dan kemaksiatan telah menyebabkan mereka lalai terhadap kemerbahayaan lubang-lubang yang ditebuk oleh tikus. Ada yang menyedari kemerbahayaan itu lalu menyampaikan kepada pemimpin-pemimpin mereka tetapi ia tidak dipedulikan. Lama-kelamaan empangan Ma’rib itupun runtuh dan menenggelamkan negeri Saba’ yang makmur dan kaya raya itu. Semua kebun mereka musnah dan sebahagian dari penduduknya mati. Ada rakyatnya yang lain berjaya menyelamatkan diri ke tempat-tempat yang lebih selamat.

Selepas banjir, tanah di Saba’ tidak lagi subur kerana dirosakkan oleh pasir, batu dan lumpur gunung. Ia menjadi masam dan berlumpur. Apabila kering tanah itu menjadi tandus dan gersang. Baja telah habis dibawa lari oleh banjir. Pohon-pohon yang masih tinggal pula mengeluarkan hasil yang bantut, kecut, dan pahit pula rasanya.

Allah S.W.T sengaja membawa kisah tamadun Saba’ dan yang lainnya sebagai contoh teladan dan peringatan kepada manusia agar memperkukuh keimanan dalam pembinaan tamadun terutama ketika berada di puncak kemakmuran. Kelalaian mereka daripada mengingati Allah S.W.T akan membawa padah sepertimana yang dialami oleh tamadun yang silam.

Firman Allah S.W.T Dalam Surah Saba' Ayat 15 - 19

(15) Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.

(16) Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.

(17) Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur.

(18) Dan - di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), - Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): " Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman".

(19) (Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: "Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)", dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.

Kesimpulannya, sungguhpun iman itu merupakan asas pembinaan tamadun yang kukuh dan unggul. Ia diibaratkan sebagai tanah yang subur dan kebun yang baik. Hasilnya pasti membawa kemakmuran, kebahagiaan dan kesejahteraan manusia. Sebaliknya tamadun yang dibina atas kekufuran akan membawa kemusnahan dan kehancuran sebagai balasan Allah S.W.T kerana kelalaian mereka sendiri.


Firman Allah S.W.T:- Maksudnya: Tidakkah mereka memerhatikan dan memikirkan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, pada hal Kami telah teguhkan kedudukan mereka di bumi yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan ke atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain. (QS. Al-An’am 6: 6)