Biodata Usahawan Yusuf Taiyoob

NAMA: Yusuf Taiyoob
ASAL: Georgetown, Pulau Pinang
ISTERI: Datin Yusnita Ramli
ANAK: Waseem, Safiya dan Safina
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik
JAWATAN: Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd.
JENIS PERNIAGAAN: Kurma, kekacang, rempah, bahan-bahan bakeri, buah-buahan kering, sabun herba, jus buah-buahan, makanan dalam tin dan cuka.

Cabaran Sebelum Berjaya

Nama Yusuf Taiyoob, bukanlah suatu nama asing di Malaysia, kerana produk kurma Yusuf Taiyoob seringkali berlegar di kaca televisyen, radio dan akhbar. Namun, sebelum beliau mengecapi kejayaan dalam bidang perniagaan, sebenarnya beliau telah banyak bermandikan cabaran demi cabaran dalam memastikan perniagaannya berjaya.

Datuk Yusuf Taiyoob memulakan bidang perniagaan dengan penjualan minyak wangi di Lapangan Terbang Bayan Lepas, yang diadun sendiri oleh beliau ketika berumur 19 tahun.

Beliau pernah bersusah payah ke Kuala Lumpur untuk mempromosi minyak wangi yang diadun sendiri, bukan sahaja syarikat berpengaruh itu tidak mahu menjual minyak wangi beliau, malah turut menghalau dan membaling minyak wangi itu begitu saja.

Perniagaan minyak wanginya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, jatuh merudum walaupun mendapat sambutan menggalakkan di peringkat awal, menyebabkan beliau tertekan sehingga mengalami muntah darah kesan pendarahan yang serius dalam perut.

Ketika itu, beliau baru berumur 19 tahun. Akibat tekanan hebat dan tidak dapat menghadapi kenyataan pada usia muda, beliau tidak dapat tidur malam dan menjaga pemakanan sehingga pada satu malam dia dikejarkan ke hospital dalam keadaan separuh sedar.

Kedua ibu bapa beliau fikir bahawa beliau akan meninggal dunia kerana melihat banyak darah yang keluar, tetapi beliau bernasib baik kerana cepat dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Penubuhan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd

Prinsip utama dalam hidup Datuk Yusuf Taiyoob ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.

Sewaktu menguruskan perniagaan pertama iaitu menjual minyak wangi, ada pihak langsung tidak memandang beliau, dan itu menyedarkan beliau untuk menjenamakan produk sendiri iaitu ”Yusuf Taiyoob”. Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 1988 dan merupakan sebuah syarikat milik persendirian yang berpangkalan di Pulau Pinang, Malaysia.

Beliau berkata ”Apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini”.

Memang tidak dapat dinafikan, dugaan yang beliau hadapi, memberi kesan terhadap usahanya menjadi usahawan yang berjaya. Beliau berkata, ”selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah.”

Selepas keluar daripada hospital dan berehat seketika, beliau bertekad memulakan perniagaan lain dengan mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari kesulitan bakal dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini. Beliau mengimport makanan termasuk kurma secara kecilan-kecilan.

Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma, Tetapi beliau yakin dengan kemampuan diri untuk bersaing dalam dunia perniagaan. Beliau juga percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti.

Kurma itu diperoleh dari Asia Barat dan Afrika Selatan, termasuk Tunisia, Oman, Iran, Arab Saudi, Mesir dan Jordan. Tetapi, sejarah awal penubuhan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd dalam perniagaan kurma, beliau pernah berdepan cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang diimport dari Iran tidak mempunyai kualiti yang diharapkan beliau, namun beliau tidak panik, Datuk Yusuf Taiyoob mengambil keputusan pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma tersebut supaya tidak menghadapi masalah yang sama pada masa akan datang.

Sifat Pendorang Kejayaan

Tidak berputus asa - Kegagalan dalam perniagaan minyak wangi tidak mematahkan semangat beliau, beliau berusaha dan mencari jalan lain dengan menukar corak perniagaan iaitu perniagaan kurma.

Berinisiatif - Datuk Yusuf Taiyoob berani mewujudkan sesuatu perkara yang baru iaitu menjual makanan dari timur tengah termasuk kurma di pasaran tempatan, walaupun dianggap pelik dan asing.

Bijak mencari peluang - Kejayaan Datuk Yusuf Taiyoob banyak bergantung kepada kebolehan dan kemampuan dalam mencari, melihat dan merebut peluang-peluang yang ada dan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Bijak menyelesaikan masalah - Kurma yang diimport dari Iran tidak berkualiti seperti yang diharapkan, namun beliau tidak panik, beliau pergi ke Iran dan selesaikan masalah dengan bijak supaya perkara yang sama tidak berulang lagi.

Bertanggungjawab - Beliau mempunyai sifat bertanggungjawab dan beretika terhadap pekerja-pekerjanya dan pihak-pihak tertentu yang mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan beliau.

Kejayaan Datuk Yusuf Taiyoob

Ketabahan beliau membuahkan hasil apabila perniagaannya berkembang maju sehingga beliau mampu menjadi pengeluar dan pembekal kurma di pasaran tempatan serta negara jiran termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand.

Kini, beliau mempunyai lebih 1,000 pengedar di negara ini tidak termasuk di luar negara dan hampir 50 kakitangan di pejabatnya. Bilangan pekerja itu tidak termasuk pekerja di gudang Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Beliau yang enggan memberitahu nilai jualan syarikatnya, berkata ”kini syarikatnya membekal 35 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safawi, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara pada harga antara RM3 hingga RM120 sekilogram.”

Dengan tempahan yang semakin memberangsangkan di beberapa negara Asia Tenggara, memaksa syarikat yang kian berkembang untuk memiliki kilang sendiri bagi menempatkan stok dan membungkus produk dengan jenama sendiri iaitu Yu Ta singkatan nama Yusuf Taiyoob.



Kilang baru serba canggih yang dibina di kawasan seluas hampir lima hektar di Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, dibina dengan kos RM20 juta itu membolehkan syarikat menghasilkan keluaran yang lebih tinggi pada bila-bila masa dengan menggunakan teknologi moden. Secara tidak langsung, katanya, ia juga dapat mengurangkan kos operasi syarikat yang selama ini terpaksa menyewa gudang bagi menempatkan stok dan bekalan dalam kuantiti besar.

Kilang ini mampu menempatkan 700 kontena stok makanan sejuk dan kering pada satu masa, yang diimport dan diproses semula dengan jenama Yu Ta singkatan nama Yusuf Taiyoob. Ia menjadikan kilang ini sebagai pusat pengeluaran dan pembekalan bahan makanan basah dan kering terbesar di utara Semenanjung sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

Pengiktirafan

Nama Yusuf Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta. Oleh itu, tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’.

Malah, beliau juga menerima pelbagai anugerah termasuk yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas. Tun Abdul Rahman Abbas juga pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.

Datuk Yusuf Taiyoob juga pernah ditawarkan pelbagai jawatan antaranya seperti Lembaga Pengarah Pertubuhan di Pulau Pinang. Namun, beliau enggan kerana ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan dan hasilnya beliau ingin berkongsi kepada golongan yang memerlukan.