Adab Ziarah Jenazah
Umat Islam digalakkan ziarah-menziarahi bagi mengekal dan mengeratkan persaudaraan dan hubungan silaturrahim. Ziarah tidak terhad semasa sihat sahaja, kita juga perlu menziarahi orang sakit apatah lagi semasa berlaku kematian.

APA ITU ZIARAH
Ziarah adalah kunjungan ke sesuatu tempat, contohnya rumah seseorang.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menziarahi orang sakit, mengiring jenazah ke kubur, mendoakan orang yang bersin, memberikan sumpah, menolong orang teraniaya, memuliakan (mendatangi) undangan dan membalas salam orang lain. (Muttafaqun Alaih)

ADAB ZIARAH JENAZAH YANG PERLU ANDA TAHU
Sebagai umat Islam, kita diminta untuk menziarahi jenazah, dalam pada itu ketika menziarah adalah sangat perlu untuk kita menjaga adab dan jangan lakukan perkara yang tidak elok serta mengguris perasaan keluarga jenazah. Berikut antara adab menziarahi jenazah:

1. Melahirkan perasaan dukacita dan keprihatinan kepada waris jenazah.
2. Disunatkan banyak membaca al-Quran dan berdoa sebelum jenazah dikebumikan.
3. Memberi pertolongan kepada keluarga jenazah dalam urusan pengebumian.
4. Menunaikan solat jenazah.
5. Menasihat keluarga jenazah dengan kesabaran di atas ujian Allah SWT.
6. Mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan perasaan dukacita keluarga jenazah.
7. Berdoa supaya jenazah mendapat keampunan.
8. Memaafkan jenazah.
9. Mencium jenazah (mengikut peraturan Islam)
10. Mengucapkan takziah.

JANGAN LAKUKAN PERKARA INI KETIKA MENZIARAHI JENAZAH
Islam sudah mengajar umatnya dengan adab-adab yang harmoni dan sejahtera. Maka jangan kita sesekali mengabaikan suruhan Allah SWT. Berikut antara perkara-perkara yang dilarang ketika menziarahi jenazah:

1. Merasa kesal terhadap kematian seperti meratap atau meraung.
2. Membebankan keluarga jenazah dengan permintaan yang mereka tidak mampu.
3. Membuat perkara yang boleh menyinggung perasaan keluarga jenazah.
4. Tidak redha dengan takdir yang telah ditentukan Allah SWT.
5. Menyalahkan Allah SWT
6. Berpakaian yang tidak menutup aurat dan tidak sopan.
7. Mencaci dan berkata buruk terhadap keluarga jenazah seperti mengungkit dosa-dosa lalu jenazah.

KENAPA ISLAM SURUH ZIARAH JENAZAH
Di dalam agama Islam, Allah dan Rasul menitikberatkan supaya umat Islam menziarahi jenazah serta mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Berikut sebab kenapa orang Islam diajar untuk menziarahi jenazah:

1. Dapat mengeratkan silaturrahim dengan keluarga jenazah.
2. Mengurangkan tekanan emosi keluarga jenazah yang kehilangan ahli keluarga.
3. Menimbulkan keinsafan bahawa kematian juga adalah qadak dan qadar Allah (WAJIB TERIMA)
4. Menunaikan hak sebagai seorang muslim ke atas muslim lain. Contoh, membantu meringankan beban keluarga jenazah.

SOALAN ADAB MENZIARAHI JENAZAH
Nyatakan adab-adab ketika menziarahi jenazah? Cari jawapan pada artikel dan tulis jawapan di ruangan komen di bawah. Semoga kalian tergolong dalam golongan penyebar ilmu bermanfaat.


TERIMA KASIH